130,000 Guru Seluruh Negara Ucap Takziah Kepada Keluarga Nurin

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) mewakili 130,000 guru seluruh negara mengucapkan takziah kepada keluarga Nurin Jazlin Jazimin berikutan tragedi yang menimpa kanak-kanak berusia 8 tahun itu.

Setiausaha KPPK, Lok Yim Pheng dalam kenyataan hari ini berkata kematian Nurin memberi satu pengajaran kepada semua terutama pelajar sekolah rendah.

"KPPK amat berharap semua guru agar sentiasa mengingatkan pelajar supaya lebih berhati-hati apabila bertemu dengan orang yang tidak dikenali.

"Pelajar hendaklah diajar mengenai langkah-langkah yang boleh diambil apabila berjumpa dengan orang yang mencurigakan," katanya.

Mayat Nurin Jazlin selamat dikebumikan selepas solat Jumaat setelah dilaporkan hilang pada 20 Ogos lepas setelah keluar bersendirian untuk pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini.

Kematian Nurin amat dirasai rakyat Malaysia dan semua pihak sedih serta marah apabila kanak-kanak itu ditemui mati dalam keadaan yang memilukan akibat menjadi mangsa penderaan seksual dan pembunuhan kejam.

-- BERNAMA

0 comments: