Majlis Peguam gesa siasat krisis badan kehakiman

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia (Majlis Peguam) akan menghantar memorandum kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa Kabinet menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rentetan krisis badan kehakiman negara sejak 1988.

Presidennya, Ambiga Sreenivasan, berkata kes terbaru membabitkan klip video kononnya mengandungi perbualan telefon antara seorang hakim kanan dan peguam yang didakwa cuba mempengaruhi pelantikan seorang hakim membuktikan betapa terjejasnya badan kehakiman negara.

Bercakap pada sidang media di sini, semalam, beliau berkata, Majlis Peguam akan menyerahkan surat kepada Perdana Menteri Rabu ini supaya dapat dibincangkan dalam Kabinet bagi mencari rumusan mengembalikan keyakinan umum terhadap badan kehakiman negara yang terjejas teruk sejak kebelakangan ini.

"Pada 6 Oktober ini, kami akan mengadakan mesyuarat agung tergempar jam 3 petang khusus bagi membincangkan krisis terbaru membabitkan badan kehakiman berikutan desakan sebahagian besar anggota.

"Majlis Peguam juga berpendapat sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan penubuhan Jawatankuasa Kehakiman bagi memastikan pelantikan hakim benar-benar bebas campur tangan mana-mana pihak," katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat tergempar pucuk pimpinan tertinggi Majlis Peguam, khusus bagi membincangkan isu klip video itu.

Kata Ambiga, peguam dalam klip video itu akan dihadapkan kepada Lembaga Disiplin Majlis Peguam yang dipengerusikan Tan Sri Khalid Ahmad manakala pihak polis dan jabatan Peguam Negara diminta bersikap telus menyiasat anggota kanan badan kehakiman yang dinamakan dalam klip itu.

Beliau bagaimanapun mengaku kesahihan klip video itu perlu dibuktikan terlebih dulu.

0 comments: