Awasi pergerakan anak: PM

Oleh Azmi Md Deros


RINGANKAN BEBAN: Abdullah menyampaikan sumbangan kepada wakil rumah kebajikan sambil diperhatikan Mahdzir dan Shahidan pada majlis berbuka puasa di kediaman rasmi Menteri Besar di Sri Mentaloon di Alor Star, malam tadi.

Ibu bapa bekerja disaran cari pengasuh elak terdedah bahaya

ALOR STAR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan ibu bapa supaya mengawasi pergerakan anak masing-masing, terutama yang masih kecil bagi mengelakkan mereka terdedah kepada keadaan yang membahayakan keselamatan.

Perdana Menteri berkata, kesibukan bekerja kedua-dua ibu bapa tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk mengabaikan pergerakan anak kerana ibu bapa boleh mencari pengasuh yang sesuai untuk menjaga anak ketika tiada di rumah.

"Anak-anak terutama yang masih kecil kurang faham mengenai perkara yang boleh mendatangkan mudarat atau bahaya kepada diri mereka.

"Anak yang sedang membesar ini kadangkala begitu cergas, suka tengok itu dan ini, suka pergi ke sana sini dan berani keluar rumah.

"Dalam hal ini tanggungjawab kita semua ialah ambil tahu ke mana mereka pergi, perhatikan ke mana mereka pergi dan apa yang mereka lakukan. Kanak-kanak bawah umur masih dalam tanggungjawab ibu bapa," katanya berucap pada majlis berbuka puasa di kediaman rasmi Menteri Besar di Sri Mentaloon di sini, malam tadi.

Hadir sama, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Pada majlis itu, Abdullah turut menyampaikan bantuan kepada tujuh rumah anak yatim di negeri ini.

Abdullah berkata, tragedi menimpa Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang meninggal dunia akibat penderaan seksual dan mayatnya dijumpai disumbatkan dalam beg di sebuah premis Isnin lalu, amat menyayat hati selain menimbulkan kemarahan orang ramai terhadap penjenayah itu.

Perdana Menteri berkata, anak adalah amanah besar daripada Allah dan mereka mesti dijaga dengan penuh kasih sayang selain diberikan didikan sebaik-baiknya.

Beliau juga mencadangkan ibu bapa bekerja supaya bersedia mengeluarkan sedikit wang untuk mengupah pengasuh yang dapat menjaga kanak-kanak sepanjang mereka tiada di rumah.

"Bagi kedua-dua ibu bapa bekerja mungkin ada sedikit kesusahan, tetapi ia perlu diurus dengan baik.

"Bermuafakatlah supaya anak dihantar ke sekolah atau menghantar mereka untuk dijaga oleh pengasuh supaya keselamatan mereka lebih terjamin," katanya.

Beliau juga mahu konsep kawalan menerusi Rukun Tetangga (RT) diperluaskan ke lebih banyak kawasan bagi membolehkan tahap keselamatan persekitaran ditingkatkan untuk membendung kejadian jenayah.

Selain itu, beliau menyarankan masyarakat negara ini mengamalkan semula cara hidup masyarakat kampung suatu ketika dulu yang sentiasa mengambil tahu mengenai apa yang berlaku di kalangan anggota masyarakatnya.

"Dulu di kampung seluruh masyarakat kenal penduduk yang tinggal di kawasan mereka dan sentiasa mengambil berat apa yang berlaku ke atas ahli masyarakatnya.

"Ia secara tidak langsung menjadi satu bentuk kawalan tidak rasmi kerana ramai yang tolong memerhatikan anak kita.

"Bagaimanapun dalam kehidupan sekarang perkara itu sudah tidak diamalkan lagi dan ada baiknya kita hidupkan semula sikap ambil tahu itu, walaupun kita hidup pada zaman moden," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri mahu rakyat yang tinggal di empat negeri yang terbabit dengan program pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) supaya meningkatkan tahap pendidikan dan latihan kerana ia modal insan paling penting untuk menjayakan inisiatif itu.

"Kita nak adakan pembangunan besar-besaran di NCER, tetapi jika tiada kekuatan modal insan atau tenaga kerja apa pun tidak akan jadi, tentu tak boleh bawa apa-apa hasil," katanya.

0 comments: