40 pondok sekolah agama terbakar

Oleh Safuri Kamarudin


YANG TINGGAL: Sekolah pondok Bandar Hilir, Teloi dekat Sik musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.

SIK: Empat puluh pondok musnah dan 30 pelajar Sekolah Pondok Bandar Hilir, Teloi, dekat sini, tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran di institusi pendidikan agama berkenaan awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, kebanyakan pondok terbakar terletak di depan sekolah dan tidak berpenghuni kerana pelajarnya pulang ke kampung sempena cuti Ramadan.

Setiausaha sekolah pondok itu, Ismail Mahmud, 38, berkata api dipercayai bermula dari sebuah pondok tidak berpenghuni sebelum merebak dengan pantas kerana bangunan itu daripada papan.

"Ketika kejadian hanya 30 daripada 120 pelajar tinggal di pondok ini kerana yang lain pulang ke kampung bercuti Ramadan. Saya bersyukur tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Ismail berkata, ketika kejadian, beliau sedang di rumahnya yang terletak tidak jauh dari situ.

"Saya terjaga apabila terdengar loceng kecemasan dibunyikan pelajar. Sebaik keluar rumah saya dapati api sudah marak membakar pondok dan segera mengejutkan semua pelajar yang ada dan meminta mereka menyelamatkan diri sebelum menghubungi bomba," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Sik, Halim Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.30 pagi dan tiga jentera bersama 22 anggota tiba ke tempat kejadian 15 minit kemudian.

"Kami mengerahkan masing-masing sebuah jentera dari balai bomba Sik, Baling dan Guar Chempedak bagi memadamkan api.

"Apabila tiba api sudah merebak ke banyak pondok kerana selain dibina agak rapat, ia dibuat daripada papan dan api mudah merebak," katanya.

Beliau berkata, bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengawal api.

Kebakaran dipercayai disebabkan litar pintas di sebuah pondok di situ kerana bekalan elektrik diperoleh melalui sambungan wayar dari bangunan utama sekolah agama berkenaan.

Sekolah pondok itu yang ditubuhkan pada 1993 mempunyai 80 pelajar lelaki dan 40 pelajar perempuan yang semuanya berusia 13 tahun ke atas. Ia menumpukan kepada pengajian kitab dan al-Quran.

Sementara itu, seorang pelajar Othman Ahmad, 18, ketika ditemui berkata, kebakaran itu berlaku ketika beliau selesai bertadarus al-Quran di surau bersama pelajar lain.

"Saya baru melelapkan mata apabila terdengar bunyi api yang marak dan bergegas bangun mengejutkan rakan lain. Kami tak sempat menyelamatkan semua barang," katanya.

Rakannya, Mohd Aris Yusof, 17, berkata, beliau tidur di asrama sekolah itu yang dibuat daripada konkrit tidak jauh dari pondok terbakar.

"Kami keluar menyelamatkan diri apabila dikejutkan rakan," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri, Ismail Harun turut melawat tempat kejadian dan menyampaikan bantuan makanan dan pakaian kepada mangsa.

0 comments: