Usaha temukan Suu Kyi, junta -- Misi Ibrahim di Myanmar dibayangi pengusiran diplomat PBB

Usaha temukan Suu Kyi, junta -- Misi Ibrahim di Myanmar dibayangi pengusiran diplomat PBB

YANGON 4 Nov. – Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari mengadakan perbincangan dengan dua menteri Myanmar hari ini tetapi pengusiran pegawai tertinggi PBB dari negara ini mungkin menyukarkan usaha untuk bertemu dengan ketua junta.

Ibrahim kini sudah dua hari berada di Myanmar dalam misi untuk mendesak pembaharuan politik dan rundingan antara jeneral-jeneral junta dengan pembangkang prodemokrasi.

Ini merupakan lawatan kedua beliau sejak junta tentera Myanmar melancarkan tindakan keras ke atas demonstrasi antikerajaan pada September lalu.

Beberapa orang diplomat berkata, Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar, Nyan Win dan Menteri Buruh, Aung Kyi yang telah dilantik sebagai pegawai perhubungan antara kerajaan dengan ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Perselisihan

Jelas mereka lagi, Ibrahim berdepan dengan masalah untuk bertemu dengan ketua junta, Jeneral Than Shwe kerana wujudnya perselisihan dengan PBB.

Sehari sebelum beliau tiba di Yangon semalam, junta mengumumkan rancangan untuk mengusir diplomat kanan PBB di negara itu, Penyelaras Tetap, Charles Petrie atas tuduhan melampaui bidang tugasnya dengan mengkritik kegagalan kerajaan memenuhi keperluan ekonomi dan kemanusiaan negara ini.

Ibrahim dijangka terus berada di Naypyitaw di utara Yangon sehingga esok sebelum kembali ke ibu negara Myanmar untuk bertemu dengan Suu Kyi.

– AP

0 comments: