Pembinaan kampus UDM bermula semalam

JERTIH: Selepas hampir 16 bulan peletakan batu asas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerja pembinaan kampus Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) Besut, dekat sini, bermula secara rasmi semalam.

Ia membabitkan pejabat Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan yang akan menjadi lokasi perancangan, pelaksanaan serta pemantauan kerja pembangunan membabitkan lapan kompleks utama kampus itu.

UDM mempunyai tiga kampus, iaitu Kampus Besut, Kampus Kusza dan kampus yang terletak di kawasan berasingan dengan menawarkan bidang pengajian berbeza.

Kampus Besut menawarkan program Sains dan Bioteknologi Pertanian, Teknologi Pemprosesan Makanan dan Teknologi Maklumat.

Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata kawasan Kampus Besut yang bersekali dengan tapak Taman Ilmu membabitkan kawasan seluas 1,600 hektar yang mampu menampung kepadatan penduduk hingga 100,000 orang.

Malah, katanya, kawasan laut berhampiran tapak iaitu Dendong memiliki pantai terbaik di Terengganu.

"Gabungan pendidikan dan pelancongan bukan hanya menjadi lokasi terbaik untuk penduduk, malah pelancong akan tertarik dengan kawasan yang masih kaya dengan tradisi dan kebudayaan.

"Kelewatan memulakan kerja pembinaan menyebabkan orang menggelar saya Menteri Besar cap ayam tanpa mengetahui masalah terpaksa dihadapi, termasuk isu pengambilan balik tanah," katanya pada majlis perasmian mula kerja pembangunan UDM Kampus Besut, di Tembila, dekat sini.

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed; Pengerusi Lembaga Pengarah UDM, Datuk Mohd Azlan Hashim dan Naib Canselor UDM, Prof Datuk Dr Alias Daud.

Pada majlis itu, seramai 34 pemilik tanah lot tapak UDM kampus Besut menerima pampasan RM5.7 juta.

Sementara itu, Idris berkata, kerajaan negeri memandang serius keperluan Terengganu untuk memiliki sebuah lagi hospital.

Beliau berkata, kajian sedang dibuat untuk memastikan sebuah pusat perubatan separa kerajaan yang mendapat kerjasama UDM, kerajaan negeri dan swasta dapat dibangunkan.

Katanya, pembangunan pusat perubatan di Kampus Kusza, Gong Badak akan membabitkan peruntukan kerajaan dan pihak swasta.

Sementara itu, Mustapa berkata, kerja pembinaan yang bermula semalam sekali gus menolak tohmahan sesetengah pihak kononnya kerajaan memperdaya rakyat.

Katanya, pembinaan UDM kampus Besut akan menjadi pelengkap kepada pembangunan modal insan yang menjadi teras kemajuan bagi program pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

"Kampus Besut yang berhampiran dengan projek pembangunan Taman Ilmu membabitkan keseluruhan kos RM408 juta bakal mewujudkan kawasan pertumbuhan baru.

"Projek pembangunan kampus dan Taman Ilmu disasarkan dapat disiapkan sebelum berakhirnya Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada penghujung 2010," katanya.

0 comments: