Siti Salmah boleh gerakkan jari, mata

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Penerima organ jantung dan paru-paru baru, Siti Salmah Jasni, 18, hari ini memberikan tindak balas positif dengan menggerakkan jari dan bebola mata apabila doktor dan ahli keluarga berkomunikasi dengannya.

Institut Jantung Negara (IJN) dalam satu kenyataan di sini memberitahu, Siti Salmah telah sedar tetapi masih dalam keadaan kritikal.

Pelajar itu terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dan belum berupaya untuk bercakap.

“Keadaan Siti Salmah itu adalah proses biasa yang dilalui pesakit yang baru menjalani pembedahan,” kata kenyataan tersebut.

Doktor-doktor di IJN akan terus memantau perkembangan kesihatan Siti Salmah sepanjang tempoh 24 jam akan datang dan hanya membenarkan ahli keluarga terdekat melawatnya.

Dalam kenyataan itu, IJN juga menyatakan penghargaan kepada keluarga penderma jantung dan paru-paru untuk Siti Salmah.

Organ jantung dan paru-paru milik seorang wanita berusia 20 tahun dari Kedah itu diterbangkan ke Kuala Lumpur dengan penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) awal pagi Jumaat lalu.

Siti Salmah yang menghidap penyakit Hipertensi Pulmonari sejak lima tahun lalu menjalani pembedahan pemindahan organ yang mengambil masa selama lapan jam.

Sementara itu, Pakar Perunding Respiratori Institut Perubatan Respiratori (IPR) Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ashari Yunus berkata, Siti Salmah mempunyai peluang cerah untuk sihat seperti sedia kala kerana paru-paru dan jantung yang baru didermakan kepadanya didapati sesuai dan mampu berfungsi dengan baik.

“Namun pelbagai kemungkinan boleh terjadi dan setiap hari kita perlu mengawasi Siti Salmah sebagaimana yang IJN lakukan terhadap penerima jantung, Tee Hui Yee dan pesakit lelaki dari Sarawak yang terlibat dalam pembedahan pemindahan paru-paru baru-baru ini,” katanya.

Kisah Siti Salmah, pelajar Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor yang merayu sumbangan jantung dan paru-paru dipaparkan dalam Utusan Malaysia tiga minggu lalu.

0 comments: