BPR bantu tingkat integriti GLC

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

Penempatan pegawai dapat bentuk pasukan pengurusan cekap di jabatan, agensi

IPOH: Penempatan pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam jabatan, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat akan membantu meningkatkan integriti dan membentuk pasukan pengurusan yang cekap.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pengarah BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed, berkata penempatan itu bukan faktor penentu untuk meningkatkan keuntungan organisasi terbabit.

Katanya, pihak pengurusan yang bertanggungjawab dengan strategi yang tepat untuk membawa keuntungan lebih kepada syarikat atau organisasi.

"Pada masa sama BPR mempunyai Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan yang boleh membantu syarikat atau organisasi menggubal dasar pencegahan rasuah mereka.

"Jika dasar ini diguna pakai dan dilaksanakan, mereka akan membentuk pengurusan yang cekap dan penuh integriti untuk membawa keuntungan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri BPR Perak di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim dan Pengarah BPR Perak, Samsiah Abu Bakar.

Abu Kassim berkata demikian mengulas laporan akhbar semalam, pemantauan oleh BPR selama dua tahun membolehkan Amanah Raya Berhad meningkatkan keuntungan daripada RM3 juta pada 2004 kepada RM19 juta pada 2005 dan RM40 juta tahun lalu.

Katanya, peningkatan keuntungan itu hasil kepemimpinan Amanah Raya Berhad yang yakin kepada integriti dan BPR hanya membantu pengurusannya.

Sementara itu, Samsiah dalam ucapannya berkata, BPR Perak menerima 625 aduan daripada orang ramai dari Januari sehingga Oktober lalu dan hanya lima peratus daripada maklumat berkenaan dianggap tidak berkualiti.

Katanya, tahun lalu BPR Perak menerima lebih 780 aduan tetapi 20 peratus daripada maklumat itu tidak boleh digunakan untuk tindakan lanjut kerana maklumatnya tidak lengkap.

Beliau berkata, peningkatan jumlah maklumat yang berkualiti itu menggambarkan orang ramai percaya bahawa identiti mereka akan dirahsiakan BPR.

“Ada juga pengadu yang datang sendiri ke Pejabat BPR dan ini menunjukkan mereka tidak bimbang menjadi pemberi maklumat," katanya.

Samsiah berkata, BPR Perak sudah menubuhkan jawatankuasa bersama pencegahan rasuah dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak untuk meningkatkan integriti agensi berkenaan.

Katanya, Dewan Bandaraya Ipoh juga bercadang untuk menubuhkan jawatankuasa bersama mencegah rasuah tidak lama lagi.

Beliau berkata, jawatankuasa bersama itu penting untuk mencegah rasuah kerana aktiviti pencegahan lebih baik daripada menahan dan mendakwa pelaku rasuah.

0 comments: