Nurul Jannah ditemui bersama sekeping nota penyerahan

KUALA TERENGGANU 4 Nov. – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu tidak menolak kemungkinan individu yang menyerahkan Nurul Jannah kepada sepasang suami isteri bersama sekeping nota di Kampung Kuala Bekah, dekat sini pada 15 Jun tahun lepas, menetap di kawasan berhampiran.

Pengarahnya, Adnan Abu Bakar berkata, ia berdasarkan nota bertulis tangan yang ditinggalkan bersama bayi yang kini berusia setahun lima bulan itu menyebut bahawa individu itu bersetuju dengan penuh kerelaan menyerahkan bayi yang baru dilahirkan kepada suami isteri terbabit.

“Mereka mungkin menyedari suami isteri itu amat memerlukan anak,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan Mingguan Malaysia hari ini yang menyebut pejabat JKM Daerah Kuala Terengganu merayu ibu atau bapa empat orang anak agar tampil bagi membolehkan proses pendaftaran sebagai anak angkat dapat dilakukan.

Empat kanak-kanak itu, ialah Nadhirah, 11, Nurul Jannah, 1, Muhamad Asri, 6, dan Nur Faihaa, 9.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, walaupun keluarga angkat itu telah menerima nota penyerahan bayi dengan penuh kerelaan tetapi secara prinsip ia tidak boleh dijadikan sebagai suatu pengesahan.

“Bapa atau ibu budak tersebut seharusnya memberikan keizinan secara bertulis kepada keluarga angkat bagi membolehkan budak itu diambil sebagai anak angkat.

“Jika keizinan penyerahan sebagai anak angkat tidak diberi oleh ibu bapa kanak-kanak ini dalam tempoh 14 hari mulai hari ini, JKM akan mendapatkan perintah penjagaan dari Mahkamah Majistret,” katanya.

Mengenai Muhamad Asri dan Nur Faihaa pula, Adnan berkata, mereka dilahirkan di negeri Selangor sebelum dipelihara oleh keluarga angkat di negeri ini beberapa tahun lepas.

Kata beliau, kedua-dua kanak-kanak itu pada asalnya diserahkan oleh seorang pemandu teksi yang mengaku sebagai bapa saudara kepada dua anak tersebut pada awal tahun 2001.

“Pemandu teksi tersebut menceritakan bahawa dia sebenarnya tidak mampu untuk memelihara dua anak itu kerana menghadapi masalah kewangan.

“Ketika itu Asri baru saja berusia lima bulan dan Faihaa pula tiga tahun, sebab itu dalam sijil kelahiran yang dikeluarkan, mereka dilahirkan di Selangor,” katanya.

Seorang lagi kanak-kanak yang dikenali Nadhirah sekarang berada dalam jagaan keluarga angkat di Kuala Terengganu, dikatakan berasal dari Johor kerana alamat terakhir ibunya ialah Kampung Sejagung Sri Medan, Batu Pahat.

Katanya, Nadhirah memang diserahkan oleh seorang lelaki kepada keluarga angkat sekarang selepas mengaku bahawa Nadhirah adalah anaknya sendiri.

“Penyerahan daripada lelaki yang tidak dikenali kepada keluarga angkat sekarang berlaku semasa Nadhirah berusia dua bulan,” tambahnya.

0 comments: