Ibu bapa diminta tidak abai keselamatan anak



MENYAYAT HATI: Pakaian kegemaran Preeshena yang mati dipercayai dirogol dan dibunuh di Kondominium Casamila Tower, Selayang.

Shahrizat arah pegawai siasat punca budak jatuh kondo tinggal berseorangan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengarahkan pegawainya menyiasat kenapa kanak-kanak perempuan yang ditemui mati menyayat hati dalam longkang berhampiran rumahnya tinggal di rumah berseorangan ketika kejadian pada Khamis lalu.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata beliau akan segera mengarahkan pegawainya membuat siasatan terperinci.


"Saya minta ibu bapa peka dengan keselamatan anak walaupun di rumah sendiri. Kita faham ramai ibu bapa sekarang sibuk dengan kerjaya mereka, namun tidak seharusnya mengabaikan kebajikan anak mereka.

"Seharusnya mereka mencari alternatif memastikan keselamatan anak mereka terjamin. Saya rasa sedih dan kesal dengan tragedi yang menimpa Preeshena Varshiny dan mahu polis segera mencari pembunuhnya kerana kita tidak mahu kejadian yang terjadi kepada Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin berulang.

"Apabila saya baca mengenai kejadian itu melalui akhbar, saya rasa marah dan kecewa dengan penjenayah yang tidak berperikemanusiaan itu. Sepatutnya kejadian itu tidak lagi berlaku di saat kita masih menangisi pemergian Nurin Jazlin yang juga menjadi mangsa manusia tidak berhati perut," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka hari raya Umno bahagian Lembah Pantai, di sini, semalam.


Shahrizat berkata, kejadian itu tidak seharusnya berlaku jika masyarakat mengambil tahu keadaan sekeliling.

"Kekejaman terhadap kanak-kanak harus dihentikan. Saya mahu semua masyarakat menjadi mata dan telinga kepada apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka. Saya yakin pembunuh itu dapat ditangkap kerana mustahil jika tiada siapa yang ternampak kejadian itu," katanya.

Khamis lalu, Preeshena Varshiny, murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan St Mary, Selayang ditemui mati dalam longkang Kondominium Casamila Tower, Batu Caves oleh pengawal keselamatan yang meronda sebelum melaporkannya kepada polis.

Laporan forensik menunjukkan mangsa cedera kepala, tangan kanannya patah, lebam pada dada dan belakang badan selain dirogol dan diliwat.

Mangsa dipercayai tinggal berseorangan di rumahnya sebelum kejadian kerana ibu bapanya keluar bekerja, manakala adiknya berada di rumah pengasuh.

0 comments: