Ramai berebut mahu pelihara 4 kanak-kanak

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD

KUALA TERENGGANU 4 Nov. – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Terengganu menerima lebih 30 panggilan daripada orang ramai yang menyatakan hasrat menjadikan empat kanak- kanak yang gambar mereka disiarkan pada muka depan Mingguan Malaysia sebagai anak angkat.

Pengawai JKM Daerah Kuala Terengganu, Zakaria Abu berkata, panggilan yang diterima dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan beberapa negeri lain itu menyebabkan kehidupan beliau hari ini menjadi sibuk.

Beliau bagaimanapun berkata, walau apa pun permintaan mereka, pihaknya tidak akan menyerahkan kanak-kanak tersebut kepada sesiapa kerana mereka kini di bawah jagaan keluarga angkat masing-masing.

“Rayuan dalam akhbar dibuat hanya untuk mencari ibu bapa kandung budak itu bagi urusan pendaftaran mereka sebagai anak angkat,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Menurutnya, ini kerana syarat utama untuk proses pendaftaran dibuat ialah ibu bapa itu sendiri dikehendaki menandatangani surat keizinan penyerahan sebagai anak angkat.

Beliau diminta mengulas laporan Mingguan Malaysia hari ini mengenai JKM Kuala Terengganu yang merayu ibu atau bapa empat kanak-kanak berkenaan agar datang segera ke pejabat bagi membolehkan segala urusan berkaitan pendaftaran anak angkat dapat dilakukan secepat mungkin.

Salah seorang mereka dikenali Nadhirah, 11, dilahirkan di Johor oleh ibu yang dikenali Nasron (bukan warganegara) dipercayai berasal dari Indonesia.

Nadhirah sekarang berada dalam jagaan sebuah keluarga di Kuala Terengganu manakala alamat terakhir ibunya ialah Kampung Sejagung Sri Medan, Batu Pahat, Johor.

Sementara itu, Nurul Jannah yang kini berusia setahun lima bulan dijumpai bersama sekeping nota yang ditinggalkan oleh suami isteri di Kuala Bekah, Kuala Terengganu pada 15 Jun tahun lepas.

Dua lagi iaitu Muhamad Asri, 6, dan Nur Faihaa, 9, pula dilahirkan di Selangor.

Zakaria berkata, setakat ini, tidak ada mana-mana pihak atau ibu bapa kandung yang tampil atau mengaku empat anak itu adalah anak mereka meskipun usaha pengesanan dilakukan beberapa bulan lepas.

Sehubungan itu, ibu atau bapa anak terbabit boleh datang ke pejabat JKM Kuala Terengganu, Tingkat Bawah, Wisma Negeri, Jalan Pejabat, Kuala Terengganu pada waktu pejabat atau menghubungi beliau menerusi telefon nombor 09-6274267 atau 09-6274268.

0 comments: