Krisis politik di Pakistan makin membimbangkan



LANGKAH KESELAMATAN: Tentera mengawal simpang jalan masuk ke kediaman Presiden di Islamabad, semalam.

Penahanan pembangkang, peguam anti-Musharraf sukarkan keadaan

ISLAMABAD: Polis menahan 500 aktivis pembangkang dan peguam semalam sehari selepas pemimpin tentera Presiden Jeneral Pervez Musharraf mengisytiharkan pergantungan Perlembagaan dan penguatkuasaan perintah darurat.

Amerika Syarikat dan beberapa sekutu Baratnya mengecam tindakan itu yang didakwa Presiden Pakistan itu sebagai tindak balas terhadap peningkatan kegiatan militan dan campur tangan badan kehakiman terhadap urusan kerajaan.


Kebanyakan rakyat Pakistan dan diplomat asing berkata, sebab utama Musharraf mengambil tindakan itu ialah untuk mengelak Mahkamah Agung bersidang bagi menentukan kesahihannya dipilih sebagai Presiden pada 6 Oktober lalu kerana masih memegang jawatan panglima tentera.

Antara tokoh pembangkang yang ditahan ialah bekas bintang kriket Pakistan, Imran Khan yang ditahan bersama-sama lapan penyokongnya di rumahnya di Lahore.

Bagaimanapun, berita terbaru menyatakan Imran berjaya melepaskan diri daripada tahanan polis itu.


"Beliau ditahan bersama penyokongnya di dalam rumah. Penyokongnya masih berada dalam rumah itu, tetapi Imran berjaya melarikan diri," kata seorang saudaranya.

"Polis masih berada di luar rumah itu," katanya.

Peguam terkenal dan tokoh pembangkang, Aitzaz Ahsan adalah antara yang pertama ditahan pihak berkuasa.

"Mereka sudah pun menyerahkan perintah tahanan selama 30 hari terhadap saya," kata Ahsan yang juga adalah Presiden Majlis Peguam Mahkamah Agung kepada wartawan di luar pekarangan rumahnya di Islamabad.

"Seorang manusia sudah meletakkan seluruh negara sebagai tebusan... sudah tiba masanya Jeneral Musharraf diusir," katanya.

Beberapa tokoh pembangkang dan peguam anti-Musharraf juga ditahan di Quetta, kata polis.

Javed Hashmi, pemimpin parti bekas Perdana Menteri, Nawaz Shariff, turut ditahan.

"Zaman pemerintahan Musharraf sudah berakhir. Masanya sudah tiba untuk mengakhiri peranan politik yang dimainkan tentera," kata Javed kepada wartawan ketika beliau dibawa ke dalam kenderaan polis di Multan.

Di Karachi, bandar raya terbesar Pakistan, Ketua Polis, Azhar Ali Farooqi, berkata polis tidak akan berlembut lagi.

"Dasar berlembut kita sudah berakhir. Kami tidak akan lagi teragak-agak mengambil tindakan, menahan dan menggunakan kekerasan jika perlu," katanya.

Selepas darurat diisytihar kelmarin, tumpuan rakyat Pakistan kini adalah kepada langkah selanjutnya oleh bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto.

Benazir, mengakhiri pembuangan negara selama lapan tahun bulan lalu, kembali ke Karachi semalam selepas seketika pergi ke Dubai. Beliau menggelar tindakan Musharraf mengisytihar darurat sebagai mengenakan pemerintahan mini tentera.

0 comments: