Ibu gemuk punca anak hiperaktif

LONDON: Ibu hamil yang mengalami masalah berat badan berlebihan didakwa berisiko untuk mendapat anak hiperaktif, kata satu kajian terbaru.

Kajian berkenaan adalah pertama kali dibuat untuk mengaitkan berat badan ibu ketika hamil dengan masalah tumpuan anak-anak mereka.

Kumpulan penyelidik berkata, penemuan mereka bukan saja mempunyai kaitan dengan ibu yang mempunyai masalah berat badan tetapi juga mereka yang mempunyai berat badan berlebihan secara sederhana.

Kajian sebelum ini mendapati anak daripada ibu yang merokok ketika kehamilan berisiko sehingga sembilan kali ganda untuk berhadapan dengan masalah gangguan hiperaktif atau kurang tumpuan (ADHD).

Bagi kajian terbaru ini, penyelidik dari Universiti Uppsala di Sweden memantau sejumlah 12,500 kanak-kanak sejak dari mereka dalam rahim sehingga usia persekolahan.

Mereka mendapati satu daripada 10 kanak-kanak terbabit menghadapi masalah kesukaran memberi tumpuan dan hiperaktif.

Penemuan mereka dibuat ketika Britain berhadapan dengan krisis kegemukan.

Bulan lalu, satu laporan kerajaan memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 60 peratus daripada penduduk lelaki di negara itu akan berhadapan dengan masalah obes manakala 50 peratus adalah wanita dan 26 peratus lagi kanak-kanak menjelang tahun 2050.

Ia turut menambah bahawa bilangan kanak-kanak British yang mempunyai masalah ADHD semakin bertambah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata Dr Alina Rodriguez dari Universiti Uppsala.

"Ramai kanak-kanak dikesan mempunyai ADHD dan lebih ramai wanita mengalami masalah berat badan berlebihan apabila mereka hamil," katanya. – Agensi

0 comments: