Ada balai polis di Kelantan guna mesin taip

KOTA BHARU: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) mendapati ada balai polis di Kelantan masih menggunakan mesin taip ketika menerima laporan dan aduan yang dibuat orang ramai.

Pengerusi YPJM Kelantan, Datuk Abdul Aziz Nawi, berkata mesin taip digunakan anggota polis balai berkenaan berikutan ketiadaan komputer untuk memudahkan urusan.

Beliau berkata, keadaan itu dikesan YPJM hasil lawatan terhadap 10 balai polis di Kelantan, terutama yang terletak di pedalaman pada Jumaat dan Sabtu lalu.

"Hasil lawatan, YPJM mendapati beberapa balai polis terutama di pedalaman Kelantan perlu dinaik taraf bagi memastikan anggota yang bertugas dapat memberikan khidmat dengan lebih cekap.

"Dalam dunia moden dan canggih ini, balai polis juga perlu moden supaya anggota yang bertugas dapat menjalankan tugas dengan lebih cepat dan berkesan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil terhadap balai polis sempena Program Lawatan Balai Polis 2007, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi; Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Kelantan, Hadi Mohd Salleh dan ketua polis daerah seluruh Kelantan.

Di majlis itu, Balai Polis Binjai dianugerahkan sebagai Balai Kumpulan A Terbaik, manakala Balai Polis Gua Musang Kumpulan Balai Polis B Terbaik.

Abdul Aziz berkata, keadaan balai polis yang serba kekurangan boleh menyebabkan pelbagai masalah, termasuk kelewatan menyelesaikan kes jenayah dalam masa singkat, selain memberi gambaran kurang baik kepada masyarakat.

Katanya, keperluan kemudahan asas itu sewajarnya diberi perhatian oleh kerajaan dan pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam perkembangan berasingan, Abd Aziz berkata, YPJM Kelantan akan memberi tumpuan kepada masalah sosial di kalangan remaja yang dilaporkan semakin serius di negeri ini.

Katanya, sebagai permulaan, yayasan itu akan mengadakan seminar arah aliran gejala sosial di negeri ini membabitkan 500 pelatih Institut Perguruan Kota Bharu (IPKB).

0 comments: