Kerengga kawal makhluk perosak balak

Oleh Nik Hariff Hassan

KUCHING: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) memperkenalkan kaedah biologi hijau iaitu menggunakan kerengga, nama saintifiknya oecopylla smaragdina, bagi menangani masalah makhluk perosak yang menjejaskan pokok balak di negara ini.

Pakar Kaji Serangga FRIM, Dr Grace Tabitha Lim, berkata penggunaan kerengga diperkenalkan menerusi kaedah 'Aplikasi Teknologi Hijau Kerengga' yang dijalankan di kawasan pokok kayu balak di FRIM, Kepong, sejak 2000.

Katanya, secara tradisi habitat kerengga yang membiak pada pokok buah-buahan seperti rambutan, mangga, langsat, nangka dan manggis dapat melindungi buah daripada serangan ulat pengorek pucuk (Hypsipyla robusta) sehingga buah kelihatan cantik dan bermutu.

“Serangga itu boleh digunakan untuk mengawal makhluk perosak yang merencatkan pertumbuhan pokok balak, berasaskan kajian yang dijalankan di FRIM sejak tujuh tahun lalu," katanya kepada Berita Harian selepas menghadiri Seminar Penyelidikan Kemajuan Sains Perhutanan 2007 di Wisma STA di sini, kelmarin.

Seminar itu mengupas pelbagai isu kawalan biologi serangga perosak yang dilakukan enam pakar kaji serangga dari Amerika Syarikat dan Malaysia. Ia dianjurkan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Grace berkata, kerengga boleh digunakan untuk mengatasi masalah ulat pengorek pucuk bagi balak yang diusahakan di Sarawak, iaitu spesies mahogani (Swietenia mahagoni).

"Secara biologi kerengga akan mengambil sap (cairan manis) pokok mahogani dan hasil kumuh serangga simbion seperti afid dan koya yang dibuang sebagai bintil halus embun madu yang mempunyai kandungan gula tinggi sebagai makanan utamanya.

"Makhluk perosak sukar dikawal kerana ia hidup di hutan semula jadi menyebabkan habitat pembiakannya terlalu cepat sehingga menyebabkan pokok mahogani terencat pertumbuhan dengan mempunyai banyak cabang dan berkualiti rendah serta tidak bernilai untuk dipasarkan," katanya.

Beliau berkata, permintaan untuk balak spesies mahogani semakin meningkat bagi keperluan untuk menghasilkan perabot bermutu tinggi kerana struktur kayu yang keras dan corak kayunya yang cantik.

Grace yakin kajiannya akan memberi manfaat kepada pengusaha balak di seluruh Sarawak.

0 comments: