Lombong batu kapur Langkawi tak jejas alam sekitar – MB

Oleh SHARIZA ABDULLAH

ALOR STAR 4 Nov. – Kerajaan negeri memberi jaminan projek pengeluaran dan pemprosesan batu kapur dolomit di Pulau Langkawi yang dijangka bermula pada Mac tahun depan tidak akan menjejaskan pulau legenda itu sebagai taman geologi dunia.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek perlombongan yang melibatkan pelaburan sebanyak RM600 juta itu akan dilaksanakan mengikut kelulusan undang-undang termasuk keperluan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA).

“Meskipun pulau itu kini dikenali sebagai Langkawi Geopark, ia tidak bermakna aktiviti ekonomi akan dihentikan di situ.

“Aktiviti ekonomi seperti pelaksanaan projek melombong dolomit akan berjalan seperti biasa mengikut undang-undang,” katanya.

Mahdzir menyatakan demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Projek Pengeluaran dan Pemprosesan Mineral Dolomit antara Kedah Corporatian Berhad (KCB), Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) dan Metro Pinnacles Sdn. Bhd. (Metro) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Projek perlombongan itu melibatkan tiga kawasan di Langkawi meliputi Bukit Batu Putih, Pulau Dayang Bunting dan Pasir Telang Hantu akan diusahakan oleh syarikat Kuala Langat Mining Sdn. Bhd. (KLM) dengan pemegang sahamnya terdiri daripada KPS sebanyak 41 peratus dan KCB serta Metro masing-masing 20 dan 39 peratus.

Ia melibatkan empat fasa dan mengambil masa selama tujuh tahun untuk dilaksanakan sepenuhnya.

Menurut Mahdzir, kerja-kerja pelaksanaan pembangunan, pengeluaran dan pemprosesan batu kapur dolomit di pulau peranginan itu akan mengambil kira meminimumkan kesan pencemaran kepada alam sekitar terutama bunyi bising, habuk, gegaran dan pencemaran sumber air.

Katanya, langkah awal kepada kawalan pencemaran alam sekitar ialah melantik juruperunding bagi membuat kajian EIA selain memastikan pemantauan berterusan dilaksanakan.

Beliau berkata, projek usahasama yang akan dijalankan itu dijangka akan memberi keuntungan kepada kerajaan negeri selain menjana aktiviti baru di Langkawi.

“Pada masa sama, penduduk di negeri ini juga akan mendapat manfaat besar daripada pelaksanaan projek berkenaan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di situ,” katanya.

0 comments: