Sabtu yang hitam – Media

Oleh MAISARA ISMAIL

ISLAMABAD 4 Nov. – Media Pakistan hari ini lantang mengkritik tindakan Presiden Pervez Musharraf yang mengisytihar darurat semalam dengan menyifatkannya sebagai cubaan menjerumuskan negara ke dalam pemerintahan diktator.

“Pengisytiharan darurat itu berpunca daripada kebimbangan Pervez ke atas keputusan Mahkamah Agung mengenai kesahihan hak beliau untuk bertanding pada pilihan raya Presiden lalu,’’ tegas akhbar berbahasa Inggeris, The Dawn.

Pervez menang besar pada pemilihan Presiden Oktober 6 lalu tetapi keputusan mutlak masih tertakluk kepada pengesahan Mahkamah Agung yang sepatutnya diumumkan minggu ini.

“Tidak ada siapa yang akan menerima apa yang beliau beritahu, sama ada rakyat Pakistan mahupun negara penderma.

“Bolehkah seorang jeneral yang tidak mendapat mandat rakyat mampu mentadbir negara dan memerangi keganasan sendirian?’’ soal akhbar itu lagi.

Sementara itu, The News on Sunday, akhbar di bawah kumpulan media Geo iaitu saluran berita paling popular di Pakistan menegaskan bahawa ia adalah kesilapan paling besar oleh Pervez.

“Ini menunjukkan yang beliau gagal belajar dari kesilapan lampau.

“Langkah ini tidak akan menolong Pakistan memerangi pelampau. Tidak salah dikatakan darurat ini ditujukan kepada dua institusi: sistem kehakiman dan pihak media,’’ tegas lidah pengarang The News.

Menurut akhbar itu, pengisytiharan itu menjadikan semalam sebagai hari “Sabtu Yang Hitam” kerana tindakan itu akan terus mengancam Pakistan.

* MAISARA ISMAIL adalah bekas wartawan Business Times yang kini menetap di Islamabad.

0 comments: