Draf pertama Akta Perlindungan Saksi siap

IPOH: Pejabat Peguam Negara sudah menyiapkan draf pertama Akta Perlindungan Saksi, undang-undang khas bagi melindungi pemberi maklumat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata draf itu kini pada peringkat penelitian dan ulasan dari beberapa kementerian.

Katanya, jika semua kementerian terbabit dan Pejabat Peguam Negara berpuas hati, draf itu akan dibawa sebagai memorandum kepada Jemaah Menteri.

“Selepas Kabinet bersetuju dengan memorandum itu, barulah draf berkenaan dijadikan rang undang-undang untuk dibentang di Parlimen.

"Sekarang pun pada akta tertentu sudah ada usaha melindungi pemberi maklumat seperti Seksyen 53 Akta Pencegahan Rasuah.

"Secara umum, kita hendak menjadikan akta ini untuk semua. Lebih senang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Badan Pencegah Rasuah (BPR) Perak, di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim; Timbalan Ketua Pengarah BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed dan Pengarah BPR Perak, Samsiah Abu Bakar.Dalam perkembangan berkaitan, Nazri berkata, tindakan BPR menahan dan mendakwa polis dan pegawai kerajaan tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu membezakan kerajaan yang memerintah, iaitu parti politik dengan pihak mentadbir negara, iaitu kakitangan awam.

Beliau berkata, lebih banyak tangkapan dan dakwaan dilakukan BPR, peluang calon BN untuk menang lebih baik.

"Kita mesti membezakan antara kerajaan yang dipilih dengan kerajaan mentadbir. Yang banyak kena dakwa di mahkamah ialah pegawai kerajaan, bukan menteri, bukan timbalan menteri atau setiausaha Parlimen.

"Yang hendak dipilih (dalam pilihan raya umum) wakil rakyat. Yang buat salah dan didakwa didakwa di mahkamah ialah pegawai kerajaan," katanya.

Sementara itu, Nazri berkata, beliau akan kekal bertanding di Padang Rengas jika dicalonkan semula pada pilihan raya umum akan datang walaupun beberapa kenyataannya sebelum ini tidak popular.

Katanya, beliau menjalankan tugas sebagai menteri ketika mempertahankan institusi kehakiman atau menjawab bagi pihak BPR atau Pejabat Peguam Negara.

0 comments: