Rasuah perlu diperangi di peringkat atasan - Ezam

Ali Bukhari Amir
Mon | Nov 05, 07 | 7:54:03 am MYT

Forum Rakyat yang diadakan di Hotel KL International kelmarin sepatutnya dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Mohd Nazri Abdul Aziz sebagai panelis di pihak kerajaan.

ImageKehadiran beliau setidak-tidaknya mencerminkan ketelusan di pihak parti pemerintah dalam hal usaha pembasmian rasuah.

Tapi, menurut laporan media, Nazri sedang hadir di sidang media bersama Ketua Pengarah BPR yang menjelaskan isu hubungan baik BPR dan polis pada hari yang sama forum rakyat yang membangkitkan wacana mengenai isu rasuah itu diadakan.

"Kalau Nazri hadir di sini boleh saya serahkan surat-surat dan dokumen mengenai rasuah di peringkat tertinggi yang boleh beliau suarakan," demikian kata Pengerusi Gerak Ezam Mohd Noor dalam ucapannya yang dipengerusi saudara Mahfuz Om ar bagi menggantikan Dr Agus, pensyarah sains politik daripada UKM yang juga tidak dapat hadir ke acara tersebut.

Ezam memulakan perbincangan isu rasuah dengan usaha memusatkan perhatian khalayak ke atas pandangan Ibnu Khaldun dalam kitab al-Mukaddimah yang merumuskan bahawa, punca rasuah berlaku apabila pemerintah ghairah kepada budaya kemewahan.

"Ertinya, usaha menumpaskan rasuah perlu bermula daripada 'ruling class' kelas penguasa," tegas beliau sambil menyandarkan hujahnya ke atas ucapan Raja Dr N azrin Julai lalu tentang isu yang sama.

"Baginda berkata rasuah berpunca daripada pemimpin negara. Hal integriti nombor satu, dan ketrampilan itu pula nombor dua dalam kepimpinan kita.

"Laporan mengenai rasuah terdedah sebab tukang-tukang perasuah kerdil tidak dapat habuan mereka, sebaliknya yang dapat adalah pihak atasan. Sebab itu, mereka tampil memberi aduan. Yang tidak dapat untung itulah yang akan melaporkan kepada pihak berkuasa," kata beliau.

Ezam turut menghimbau peranan Dr. Syed Hussein al-Attas yang menurutnya adalah antara ahli akademik paling aktif dan lantang dalam membincangkan hal rasuah di negara ini.

"Buku beliau antara rujukan. Ketika itu, gejala rasuah tidak merebak lagi. Tapi, beliau menulis bahawa gejala rasuah paling teruk berlaku dalam masyarakat apabila ia mula menular sebagai budaya. Dan, inilah yang sedang berlaku sekarang.

"Jika berlaku sekarang pun, hal itu adalah pendakwaan terpilih di mana pihak kerajaan hanya menumpaskan rasuah di peringkat bawahan, bukan di pihak atasan," tambah beliau lagi.

Mahfuz, dalam kesempatannya sebagai moderator, ketika mengulas hal itu menyifatkan BPR sebagai tidak kreatif dan kurang membawa pulang hasil tangkapan ikan yang lumayan.

"Mereka seperti kaum nelayan yang tiada semangat berdaya maju, berdaya saing serta kurang produktif kerana hanya mampu menangkap ikan bilis dan bukannya jerung," katanya.

Kolumnis Mingguan Malaysia Tan Sri Mazlan Nordin pernah menulis tentang kaedah mantan Ketua Pengarah BPR Harun Hashim yang selalu menyiasat isi kandungan surat layang. Beliau dikatakan telah mendaftar sebuah peti surat bagi tujuan siasatan itu.

"Dalam sehari beliau terpaksa membaca beratus pucuk surat aduan," tulisan Mazlan dipetik.

"Tapi," kata Ezam, "BPR sekarang berbeza pula. Dalam sebuah wawancara, Ketua Pengarah BPR berkata, antara hal yang memeningkan kepala beliau adalah membaca surat layang.

Image"Saya tidaklah menafikan bahawa mungkin ada unsur fitnah dalam surat layang itu. Namun, sekurang-kurangnya, isi kandungan surat itu mestilah disiasat. Itu aduan orang-ramai."

Tambah Ezam, Harun Hashim dengan kuasa yang diberi kan terhadap beliau pada waktu itu turut berkata, betapa perlunya usaha memerangi rasuah itu di peringkat tertinggi.

"Namun, apa yang berlaku kini, kerajaan cuma memberi kan peruntukan terhadap BPR untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan serius dengan usaha membanteras rasuah.

"Jika sekadar menambah jumlah bilangan pegawai BPR serta menyiasat penjawat awam yang melakukan pembelian peralatan screw driver, itu tidak selesai masalah," tambah beliau.

Di samping itu, katanya pendirian media kini turut menyulitkan usaha membasmi rasuah.

"Ada wartawan yang minta komen saya mengenai usaha kerajaan banteras rasuah. Saya sudah beri kenyataan, tapi keesokannya kenyataan itu tidak tersiar.

"Esoknya, wartawan tanya lagi. Saya pun tanya semula, kenapa kenyataan saya tidak tersiar. Dia menjawab, sebabnya ialah anda tidak menyokong kerajaan,รข€ kata Ezam.

Tambahnya, rakyat perlu prihatin soal rasuah kerana ia bakal meruntuhkan sebuah tamadun secara keseluruhan.

"Jika membabitkan orang yang melakukan kesalahan itu sahaja, itu tak mengapa. Tapi, rasuah ini membawa masalah bagi orang lain," katanya, sambil bersandarkan hujah kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam seperti kemalangan bas yang heboh di media yang lalu.

Sementara itu, panelis kedua Naib Presiden PAS Dato' Husam Musa, dalam ucapannya telah mengambil kesempatan menyarankan supaya Ezam juga diberikan tempat di dalam Parlimen supaya beliau mudah memperjuangkan isu rasuah selama ini.

"Saya melihat kita perlukan lebih ramai pemimpin yang akan bercakap hal rasuah ini di dalam Parlimen. Sebab itu saya cadang beliau diberi tempat dalam pilihan raya untuk bertanding.

"Jika tidak, susah perjuangkan isu ini. Saya pula baru dengar ucapan Tengku Razaleigh dalam perhimpunan anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) baru-baru ini. Menurutnya, sumber Putrajaya berkata, seliter minyak naik 70 sen, termasuk gas dan tol nanti," katanya.

Tambahnya, kenaikan drastik itu ada kemungkinan dengan hutang kerajaan yang meningkat. Apakah semua ini mungkin terkait juga dengan gejala rasuah secara tidak langsung?

Dalam hal lain mengenai hal rasuah, Husam berkata gejala ini sudah berjangkit ke atas sistem kehakiman dan institusi polis itu sendiri.

"Ada hadis menyebut, bahawa umat terdahulu binasa kerana ada masalah ke atas kehakiman. Dan Sultan Azlan Shah pun menegur kehakiman negara. Tetapi, di negara ini sepertinya titah sultan itu sudah tiada harganya lagi.

"Dalam realiti kini, polis juga terjebak dengan amalan rasuah. Tapi, ada yang bertugas dengan baik seperti membanteras hal penyalahgunaan dadah,"katanya yang menyifatkan Melayu kini berada dalam generasi keempat dalam hal penyalahgunaan dadah itu.

Dalam kesempatan itu, beliau menyeru hadirin agar memberi sumbangan terhadap polis yang meninggal dunia ketika melakukan operasi ke atas sarang dadah baru-baru ini.

"Tetapi, apabila ketua polis itu ditanya mengenai nasib mereka, beliau berkata pihaknya akan menyiasat sama ada serbuan itu termasuk dalam operasi atau tidak. "Walhal, mereka berjuang untuk membanteras pusat operasi dadah,"kata Husam lagi.

ImageSementara itu, dalam ucapan penutup majlis berkenaan, Ketua Pemuda PAS Salahudin Ayub berkata, beliau tidak menolak kehadiran sekitar 1.2 juta pendatang asing ke negara ini berkait rapat dengan gejala rasuah.

"Malaysia sebagai pemimpin OIC tidak patut menindas saudara seagamanya dari negara lain.

"Warga asing beri wang kepada agen untuk bekerja, kemudian mereka ditipu. Tetapi, kita tak menolong menyelesaikan masalah ini,"katanya, sambil memberi kan contoh petikan dialog P. Ramlee yang menunjukkan amalan perniagaan manusia itu yang lebih membawa keuntungan.

Amalan rasuah yang gagal dibendung, menurut beliau, akan melahirkan negara yang mungkin diperintah oleh golongan samseng.

"Suatu masa dahulu ada sebuah filem bertajuk Walking Tall. Ia mengisahkan sebuah negara di mana pemimpinnya dilantik oleh orang jahat seperti mafia.

"Akhirnya tidak mustahil nanti kereta kita akan meletup, keluarga kita terus diburu, terancam oleh ugutan,"kata Salahuddin.

Mengakhiri majlis itu, Ezam berkata usaha membasmi rasuah, sulit kerana hakikat kelemahan dan ujian ke atas umat ini seperti mana yang telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sendiri.

"Sabda baginda, di antara ujian ke atas umat ini adalah harta. Jadi, saya lihat hal ini benar juga kerana ujian seperti ini sudah terkena ke atas agensi agama yang menguruskan wang zakat.

"Sepatutnya, wang zakat itu boleh digunakan untuk membangunkan sekolah rendah dan lain-lain. Tetapi sekitar RM400 ribu telah digunakan pegawai agama untuk kepentingan peribadi," kata Ezam. - mks.

0 comments: