Melontar jamrah ikut benua

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan masa dan laluan untuk jemaah melakukan ibadat melontar jamrah di Mina mengikut benua masing-masing untuk musim haji kali ini.

Ini kerana kelebihan berkongsi dan mempunyai persamaan dalam aspek budaya dan bahasa, membolehkan jemaah dalam benua yang sama dapat saling memahami dan lebih bertolak-ansur.

Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Dr. Ismail Ibrahim berkata, perkara itu ditetapkan selepas kerajaan Arab Saudi membelanjakan RM4.2 bilion bagi menyiapkan Jambatan Jamrah setinggi lima tingkat untuk memudahkan jemaah haji melontar.

Beliau berkata, pembinaan jambatan dan ketetapan melontar mengikut benua itu bagi mengelakkan berulangnya insiden rempuhan yang telah membunuh ratusan jemaah, beberapa tahun lalu.

“Walaupun jambatan itu belum siap sepenuhnya pada tahun ini, namun pembukaan dua laluan iaitu aras bawah dan aras satu pada tahun lalu telah berjaya membantu para jemaah yang seramai hampir dua juta orang melakukan ibadat itu dengan selamat.

“Namun ciri keselamatan ditingkatkan lagi pada tahun ini apabila jemaah yang akan melontar itu akan dibahagikan mengikut kumpulan benua iaitu Afrika, Asia, dan Eropah pada masa dan laluan tertentu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ismail berkata, difahamkan masa dan laluan itu akan diberitahu kepada para jemaah termasuk Malaysia dalam kumpulan Asia Tenggara bersama Singapura, Indonesia, Brunei dan Thailand, sebaik sahaja mereka tiba di Tanah Suci atau masih di tanah air ketika musim ibadat itu semakin hampir.

Bagaimanapun, Ismail menasihati para jemaah supaya bersiap sedia menghadapi musim sejuk sepanjang menjalani ibadat haji di sana.

“Kita lazimnya mampu menangani musim panas tetapi musim sejuk keadaannya adalah lebih mencabar ketahanan badan kerana cuaca sejuk itu dijangka mampu turun serendah 14 darjah Celsius.

“Oleh itu, badan perlu sihat dan para jemaah mesti mempunyai baju tebal yang mencukupi untuk kegunaan di sana,” katanya.

Sementara itu, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Telekom Malaysia (TM) baru-baru ini, telah melancarkan sebuah pusat komunikasi yang dikenali sebagai ‘Pusat Hubungan Tabung Haji’ yang akan beroperasi 24 jam sehari sepanjang musim haji tahun ini.

Pengurus Bahagian Komunikasi Korporat TH, Mohd. Badrulhisham Abdul Latif berkata, pusat itu merupakan pusat maklumat setempat bagi membolehkan orang ramai terutama para jemaah untuk membuat sebarang pertanyaan, kemusykilan, aduan, rungutan dan cadangan mengenai TH dan musim haji kali ini.

“Orang ramai boleh menghubungi pusat itu untuk apa jua masalah mengenai haji di talian 03-62071919 dan faks 03- 77284959 dalam tempoh 24 jam pada setiap hari,” katanya.

0 comments: