Hubungan polis-BPR tidak terjejas

IPOH 4 Nov. – Hubungan baik antara pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak terjejas walaupun sejak akhir- akhir ini kerap berlaku kes berkaitan rasuah melibatkan anggota pasukan keselamatan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tindakan agresif BPR mencegah rasuah bukan bertujuan bermusuh dengan mana-mana pihak tetapi menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Justeru katanya, masyarakat perlu melihat perkembangan itu secara positif untuk kepentingan dan kebaikan negara selain tidak menganggapnya mempunyai agenda tertentu.

“Secara kebetulan kes rasuah yang berlaku sejak akhir-akhir ini termasuk kejadian mengacu pistol ke arah pasukan BPR di Perak, Khamis lalu melibatkan seorang anggota polis.

“Sebenarnya, BPR juga banyak mengambil tindakan membasmi rasuah ke atas pegawai- pegawai kerajaan lain seperti mendakwa kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Jabatan Belia dan Sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Ramah Mesra Aidilfitri BPR Perak di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamed Nazri memberitahu, Jabatan Peguam Negara sedang dalam proses akhir menyediakan draf undang-undang bagi menggubal satu akta untuk melindungi sesiapa saja yang memberi maklumat mengenai kes rasuah atau penyelewengan.

Menurut beliau, semua kementerian telah memberi maklum balas mengenai draf undang-undang tersebut dan beliau akan membentangkan perkara itu kepada Jemaah Menteri tidak lama lagi.

Jelasnya, undang-undang itu perlu diwujudkan kerana buat masa ini hanya BPR mempunyai peraturan khas bagi melindungi pemberi maklumat.

“Kita perlu satukan tanggungjawab melindungi semua pemberi maklumat ini di bawah satu akta yang umum dan bukan untuk BPR sahaja.

“Menerusi akta itu nanti, masyarakat akan lebih yakin untuk membuat sebarang aduan jika melihat berlaku sebarang penyelewengan di mana-mana saja,” ujarnya.

0 comments: