Tun Mahathir berdoa misi berjaya

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pencetus idea melahirkan angkasawan negara, mengucapkan tahniah kepada Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang terpilih sebagai angkasawan pertama Malaysia.

Beliau yakin dengan semangat serta kecekapan yang diperoleh daripada program latihan angkasawan yang telah dituruti, Sheikh Muszaphar akan berjaya menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna.

“Sebagai rakyat, saya berdoa agar misi yang membawa Sheikh Muszaphar ke Stesen Angkasa Antarabangsa berjalan lancar dan selamat,” kata Dr. Mahathir, yang masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di sini selepas menjalani pembedahan pintasan jantung bulan lepas, dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Mahathir yang mencetuskan idea melahirkan angkasawan pertama negara itu ketika menjadi Perdana Menteri berharap segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh daripada misi itu akan dikongsi bersama dengan rakyat, dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang.

Dr. Mahathir berkata, kejayaan Sheikh Muszaphar dan Dr. Faiz Khaleed menyertai program angkasawan itu membuktikan rakyat Malaysia mempunyai kecekapan tidak kurang hebatnya berbanding bangsa lain.

“Tidak ada apa-apa boleh menghalang kita daripada mencapai yang terbaik. Hanya kecekalan, keberanian, semangat ingin berjaya dan tidak mahu tunduk serta mengalah yang akan membawa kita ke mercu kejayaan.

“Sekali lagi tahniah diucapkan kepada Sheikh Muszaphar, selamat berangkat dan selamat kembali.

“Kepada Dr. Faiz, walaupun tidak terpilih pada kali ini saya tetap gembira kerana dia dikatakan berpeluang menyertai program angkasawan yang kedua pada masa depan,” katanya.

Dr. Mahathir turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak dan agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

Program angkasawan negara itu adalah persetujuan timbal-balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia dan ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

– Bernama

0 comments: