Dr M yakin kecekapan angkasawan

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) menyampaikan ucapan tahniah kepada Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang terpilih mengikut misi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Beliau yang menjadi pencetus kepada program angkasawan ketika menjadi Perdana Menteri yakin dengan semangat dan kecekapan yang diperoleh daripada program latihan angkasawan, Dr Sheikh Muszaphar Shukor akan berjaya menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna.

"Saya berbangga kerana sempena 50 tahun kemerdekaan negara, impian kita untuk menghantar rakyat Malaysia ke angkasa bakal tercapai.


"Sebagai rakyat, saya berdoa agar misi yang akan membawa Dr Sheikh Muszaphar ke ISS berjalan lancar dan selamat," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Dr Mahathir berharap segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh daripada misi itu akan dikongsi bersama dengan rakyat dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang.

Sementara itu, anaknya Marina dalam laman blognya berkata, kesihatan ayahnya semakin baik berbanding semalam dan dapat berjalan tanpa bantuan sejauh 50 meter.

0 comments: