Muszaphar buat kajian tiga negara

KUALA LUMPUR: Angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha akan sibuk melakukan kajian untuk tiga agensi angkasa sepanjang 10 hari berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Prof Datuk Dr Mazlan Othman, berkata Dr Sheikh Muszaphar mempunyai jadual ketat untuk menyiapkan kajian untuk agensi angkasa di Malaysia, Eropah dan Jepun.

"Beliau hanya ada 10 hari di ISS dan setiap jam perlu digunakan sebaiknya," katanya yang turut bersama beberapa ahli pasukan beliau menyaksikan pelancaran angkasawan negara ke ISS malam tadi.


Beliau juga melahirkan rasa gembira kerana akhirnya impian negara untuk melahirkan angkasawan pertama tercapai selepas lima tahun Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berusaha menjayakan program itu.

Katanya, Dr Sheikh Muszaphar akan menjalankan eksperimen mengenai perubatan angkasa dan sains hayat untuk Malaysia dan kajian mengenai otot dan penglihatan bagi Agensi Angkasa Eropah manakala untuk Agensi Angkasa Jepun pula kajian kesan radiasi di angkasa.

"Projek angkasawan itu tidak akan terhenti setakat ini. Kita mempunyai perancangan jangka panjang untuk program angkasawan," katanya.


Dr Mazlan berkata, sembilan saintis tempatan akan meneruskan kerjasama dengan Eropah dan Jepun dalam beberapa penyelidikan berkaitan angkasa.

0 comments: