Rakyat bangga negara cipta sejarah

Oleh Fazallah Pit, Irwan Shafrizan Ismail, Mohamed Farid Noh dan Norliza Wasilan


MINAT MENDALAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menyaksikan pelancaran angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menerusi televisyen di wad Bunga Raya, Institut Jantung Negara (IJN), malam tadi.

Masyarakat menanti tempat tumpuan utama seawal jam 7.30 malam saksikan pelancaran Soyuz

KUALA LUMPUR: Seluruh rakyat Malaysia berdebar-debar dan berbangga menyaksikan angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 35, berlepas dengan jayanya ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dengan roket Soyuz TMA-11 bagi memulakan misi penyelidikan, tepat jam 9.21 malam tadi.

Pelbagai lapisan masyarakat setia menanti di beberapa tempat tumpuan utama seawal jam 7.30 malam terutama di Dataran Merdeka dan kedai makan seluruh negara.


Tinjauan di kedai makan sekitar ibu kota mendapati pengunjung yang datang tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing bagi menyaksikan detik negara mencipta sejarah dalam bidang aeroangkasa, sekali gus menempatkan Malaysia dalam kumpulan elit 37 negara di dunia yang berjaya menakluki angkasa.

Kakitangan awam, Mohammed Ali Hassan, 25, berkata beliau memilih menyaksikan detik bersejarah negara di kedai makan bersama-sama rakannya untuk merasai bahang kehangatan bersama pelbagai lapisan masyarakat.

“Menonton di kedai agak selesa kerana tempat ini menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat sama-sama meraikan detik kegemilangan negara dan dalam masa sama boleh menikmati makan malam,” katanya.

0 comments: