Junta Myanmar ‘bodoh’ ekonomi – Kuan Yew

SINGAPURA 10 Okt. – Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew menggambarkan junta Myanmar sebagai pengurus ekonomi yang agak “bodoh” dan tidak mungkin mampu mempertahankan kuasa selama-lamanya.

Junta Myanmar telah mendorong rakyatnya memberontak disebab pembaziran yang dilakukan oleh para jeneral itu, kata Kuan Yew dalam wawancara yang disiarkan oleh akhbar Straits Times hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan, sebarang penyelesaian terhadap kebuntuan politik di Myanmar sudah semestinya melibatkan tentera kerana mereka sahaja yang mampu mempertahankan keutuhan negara itu.

“Mereka adalah jeneral yang agak bodoh dalam pengurusan ekonomi.

“Bagaimana mereka boleh mengurus ekonomi dan mencapai peringkat seteruk ini sedangkan negara itu memiliki begitu banyak sumber asli?” kata Kuan Yew, 84, kepada kolumnis Amerika Syarikat (AS), Tom Plate dalam wawancara pada 27 September lalu.

Wawancara itu diadakan pada kemuncak operasi yang dilancarkan oleh junta untuk menghentikan protes besar-besaran melibatkan puluhan ribu penduduk yang diketuai oleh sami Buddha bagi membantah pemerintahan tentera dan kesempitan ekonomi.

Sewaktu kemerdekaan pada 1948, Myanmar mewah dengan sumber asli dan lebih kaya daripada Singapura berdasarkan hampir semua kriteria ekonomi.

Menurut Kuan Yew, para pemimpin Myanmar telah mendorong “rakyat yang miskin dan kelaparan untuk memberontak” dengan membina projek membazir dan menunjuk-nunjukkan kekayaan mereka.

“Mereka memutuskan untuk menutup ibu pejabat kerajaan di Yangon dan membuka pejabat baru di Pyinmana atau entah apa nama tempat itu, yang tidak ada apa-apa,” katanya sebagai merujuk keputusan junta memindahkan ibu negara dari Yangon ke Naypyidaw yang terletak di tengah-tengah hutan, pada tahun lepas.

– Reuters

0 comments: