Inspirasi majukan teknologi angkasa

Oleh NIZAM YATIM


Abdullah Ahmad Badawi berucap pada Majlis Pelancaran Angkasawan Negara Pertama ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi.

KUALA LUMPUR 10 Okt.- Penghantaran angkasawan pertama negara ke angkasa lepas adalah inspirasi bagi memajukan bidang sains dan teknologi dalam tempoh 50 tahun akan datang, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, penyelidikan saintifik yang akan dijalankan oleh Dr. Sheikh Muszaphar Shukor itu seharusnya menjadi rangsangan kepada semua pihak khususnya saintis tempatan untuk menjangkaui sempadan sedia ada dan meneroka penemuan baru.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman dunia yang telah meneroka angkasa lepas sejak 50 tahun lalu, banyak kemajuan yang boleh diperoleh daripada penerokaan itu termasuk dalam bidang robotik, elektronik, pengumpulan data dan imej serta komunikasi.

‘‘Objektif kita ialah untuk melakukan inovasi baru daripada pengetahuan saintifik yang diperoleh semasa penerokaan ini untuk kepentingan negara dan mewujudkan industri baru serta meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat.

‘‘Saya yakin ia juga dapat mengembalikan kesungguhan dan menjadi aspirasi kepada usaha kita untuk membangun dan memajukan Malaysia untuk tempoh setengah abad akan datang,’’ katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Angkasawan Negara Pertama Ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini malam ini.

Turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Pada majlis itu, Perdana Menteri dan kira-kira 1,800 tetamu termasuk pelajar sekolah, anak yatim dan duta-duta asing menyaksikan detik bersejarah, Sheikh Muszaphar berlepas dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan menerusi tujuh skrin gergasi yang disediakan.

Sebelum itu, Perdana Menteri turut menghadiri majlis berbuka puasa dan diikuti dengan solat Maghrib, tarawih serta hajat memohon angkasawan negara sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penghantaran itu, Abdullah berkata, ia merupakan peristiwa bersejarah sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara dan juga pelancaran satelit pertama ke angkasa lepas setengah abad lalu.

‘‘Penghantaran angkasawan pada bulan Ramadan juga menandakan kita telah menjangkaui sempadan dan menemui batasan baru pada bulan al-Quran diturunkan,’’ ujarnya.

Menurut Abdullah, selepas pulang nanti Sheikh Muszaphar dan Kapten Dr. Faiz Khaleed akan melawat sekolah untuk bertemu pelajar bagi memotivasi mereka supaya yakin dengan kebolehan diri sendiri.

“Dengan menerokai angkasa lepas, kita membuat pelaburan bagi anak-anak kita, masa depan kita, membina jambatan yang merapatkan bidang-bidang ini ke dalam imaginasi anak muda di sini seperti juga di tempat lain.

“Perjalanan hebat ini, yang kita semua secara tidak langsung bersama melakukannya dengan angkasawan kita, akan membolehkan anak-anak kita untuk memikirkan bahawa impian boleh menjadi realiti,” katanya.

Kata Perdana Menteri, bagi pihak seluruh rakyat beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Rusia kerana peranan penting yang telah dimainkannya bagi merealisasikan aspirasi Malaysia menghantar angkasawan ke angkasa lepas.

‘‘Kejayaan ini juga adalah hasil usaha keras selama bertahun-tahun oleh pihak kerajaan dan swasta setelah idea ini dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2003,’’ ujarnya.

Abdullah juga mengucapkan tahniah kepada lebih 11,000 orang yang memohon untuk menjadi angkasawan kerana berani untuk mempunyai impian dan yakin rakyat Malaysia akan ke angkasa lepas.

‘‘Kamu semua sepatutnya berbangga kerana di kalangan terbaik daripada anda telah dipilih dan kepada Sheikh Muszaphar selamat berjaya dan pulang,’’ ujarnya.

Sejurus sebelum pelepasan itu, Abdullah turut mengadakan lintas langsung bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis yang berada di Astana, Kazakhstan bagi mendengar taklimat tentang perkembangan terakhir angkasawan negara.

Abdullah juga bertanya keadaan terkini dan mengucapkan selamat kepada Sheikh Muszaphar yang turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Timbalannya yang disampaikan melalui Jamaluddin.

‘‘Bagaimana dengan Dr. Sheikh Muszaphar, sihatkah dia, kita di sini ada macam-macam perasaan, gembira dan seronok kerana apa yang berlaku adalah peristiwa bersejarah dan cukup besar kepada negara kita.

‘‘Di mana pula Dr. Faiz, saya berharap dia akan menjadi angkasawan berikutnya bagi Malaysia,’’ ujar Abdullah.

Ketika lintas langsung itu, Abdullah juga mendengar taklimat daripada bekas angkasawan Amerika Syarikat (AS), Robert L. Gibson yang telah ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sebanyak empat kali.

0 comments: