Kejayaan angkasawan Malaysia berita kecil di Indonesia

JAKARTA 11 Okt. - Kejayaan Malaysia menghantar angkasawan pertamanya ke angkasa lepas malam tadi tidak begitu ghairah dikongsi bersama oleh media Indonesia.

Hanya tiga akhbar menyiarkan berita mengenai Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 35, yang berlepas dengan dua lagi angkasawan dari negara lain dari Baikonur di Kazakhstan, malam tadi.

Akhbar Kompas menyiarkan berita berkaitannya di bawah tajuk “Soyuz Rusia Meluncur ke Ruang Angkasa” hanya sebagai berita kaki di halaman antarabangsanya di muka surat sembilan dan menyebut nama angkasawan Malaysia itu hanya secara sepintas lalu.

Akhbar Media Indonesia pula menyiarkan berita itu yang dipetik dari agensi berita asing dengan tajuk “Orang Malaysia Pertama ke Bulan”.

Laporan itu turut menyebut angkasawan Malaysia itu merupakan orang Asia pertama berangkat ke luar angkasa dan menjadi satu hal baru bagi umat Islam di Asia.

Laporan berkenaan juga menyebut para pegawai Malaysia mengganggap kejayaan itu sebagai sejarah nasional sempena 50 tahun kemerdekaan dan hasrat Dr Sheikh Muszaphar melihat Malaysia mempunyai kapal angkasanya sendiri dan menyebut mengenai ujian sel kanser yang akan dijalankannya.

Cuma akhbar berbahasa Inggeris, The Jakarta Post, menyiarkan gambar angkasawan Malaysia itu dengan tajuk “First Malaysian Enters Space”, dengan menyiarkan gambar menunjukkan Dr Sheikh Muszaphar sedang tersenyum sambil jarinya menunjukkan kepada bendera Malaysia di lengan kiri pakaian angkasawannya.

Laporan daripada agensi berita Reuters itu menyebut secara terperinci misi Dr Sheikh Muszaphar selain bahawa beliau merupakan umat Islam pertama berada di angkasa lepas pada bulan Ramadan.

Beberapa pemberita kanan Indonesia yang dihubungi berkata, berita mengenai Dr Sheikh Muszaphar itu tidak dibesarkan di negara yang mempunyai 200 juta penduduk Islam ini mungkin kerana pembaca inginkan berita-berita mengenai “balik kampung” sempena sambutan Aidilfitri.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia di sini turut berkongsi kegembiraan dan kebanggaan melihat anak bangsa mereka berlepas ke angkasa.

Halimah Piee, ibu kepada empat orang anak, berkata, seorang daripada anaknya mengikuti perkembangan misi angkasawan Malaysia itu dari awal lagi dan telah membuat keratan akhbar mengenainya sejak 2003. - Bernama

0 comments: