Bonus: Bekas pemain Kedah kecewa

Oleh SHARIZA ABDULLAH


Sebahagian daripada pemain bola sepak Kedah yang menerima bonus raya setelah berjaya membawa balik kesemua tiga piala dalam saingan bola sepak Liga Malaysia 2007 di Wisma Darul Aman Alor Star, Kedah, semalam.

ALOR STAR – Lapan bekas pemain skuad bola sepak Kedah musim lalu kecewa kerana nama mereka tidak disenaraikan dalam pemberian bonus kemenangan bernilai kira-kira RM400,000 seperti yang diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) baru-baru ini.

Pemain-pemain tersebut beranggapan nama mereka tidak seharusnya dipinggirkan dalam pemberian bonus tersebut meskipun tidak menyambung kontrak baru dengan pasukan yang mencipta kejuaraan hatrik pada musim lalu itu.

Menurut mereka, biarpun sebilangan besar daripada pemain yang dicicirkan itu hanya memanaskan bangku simpanan sepanjang musim lalu, namun adalah menjadi hak mereka untuk menuntut pemberian bonus berkenaan.

Malah menurut satu sumber, terdapat juga pemain yang kerap diturunkan beraksi pada musim lalu turut tidak disenaraikan untuk menerima wang ganjaran tersebut gara-gara tidak dilanjutkan kontrak bersama Sang Kenari.

‘‘Apa yang mereka inginkan adalah keadilan kerana mereka juga bersama pasukan Kedah sepanjang musim lepas.

‘‘Kejayaan memenangi tiga piala merupakan pencapaian seluruh pasukan. Bagi pemain yang jarang beraksi, ia bukan kehendak mereka.

‘‘Jadi tidak seharusnya nama mereka dicicirkan daripada menerima bonus berkenaan. Sekurang-kurangnya hargailah jasa mereka yang bersedia menabur bakti bersama Kedah musim lalu,” kata sumber itu.

KFA semalam menyampaikan ganjaran kemenangan kepada pemain-pemain Kedah yang berjaya menjuarai Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA musim lalu.

Dalam majlis tersebut, pemain-pemain Kedah dan jurulatih serta pegawai-pegawai menerima ganjaran yang keseluruhannya berjumlah RM400,000 di atas kemenangan pasukan Kedah menjuarai Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA untuk musim lalu.

Imbuhan tersebut merupakan bonus yang dijanjikan oleh KFA selepas hasrat untuk membawa pasukan melawat ke Eropah dibatalkan ekoran kesuntukan masa dan juga beberapa pemain Kedah yang dipilih mewakili negara ke Sukan Sea di Korat Disember ini.

Bagaimanapun jumlah imbuhan yang diterima oleh setiap pemain berbeza-beza berdasarkan status pemain iaitu antara RM10,000 hingga RM15,000 berdasarkan pada status pemain dan jumlah permainan.

Sementara itu, pengurus pasukan Kedah, Datuk Othman Aziz ketika dihubungi bagi mengulas isu berkenaan berkata, pihaknya kini menunggu dana dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan akan mempertimbangkan pemberian bonus kepada pemain-pemain terbabit.

0 comments: