‘Penjaga’ Nurin dibebaskan

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN dan MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin terus menemui jalan buntu selepas suspek kelima, wanita warga Indonesia yang sebelum ini dikatakan sebagai ‘penjaga’ Nurin, dibebaskan daripada tahanan reman polis hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II, Ku Chin Wah berkata, wanita itu dibebaskan kerana tiada bukti kukuh untuk menuduhnya di mahkamah.

“Oleh kerana tiada bukti kukuh bagi mensabitkan wanita tersebut, pihak polis telah membebaskannya tanpa syarat.

“Bagaimanapun, oleh kerana dia (wanita tersebut) tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, dia telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar-akhbar melaporkan sebelum ini bahawa wanita itu telah menelan kad SIM (modul pengenalan pelanggan) ketika dibawa ke mahkamah pada 29 September untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Kad SIM itu hanya dapat dikeluarkan beberapa hari kemudian.

Wanita warga Indonesia yang dikenali sebagai Fitri itu ditahan polis di bazar Ramadan, Nilai, Negeri Sembilan berhampiran pasar raya besar Giant.

Penahanan itu menjadikan jumlah orang yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin, 14, seramai lima orang.

Pada 27 September lepas, polis menahan lima orang berusia 27 hingga 33 tahun termasuk sepasang suami isteri dalam beberapa serbuan di Shah Alam sebelum membebaskan wanita itu selepas keterangannya direkodkan.

Bagaimanapun, pada 1 Oktober lepas, keempat-empat suspek lelaki yang ditahan reman itu dibebaskan selepas pihak polis gagal mendapat sebarang bukti yang boleh mengaitkan mereka dengan kes kehilangan dan pembunuhan kanak-kanak malang itu.

Nurin Jazlin dilaporkan hilang di Wangsa Maju dekat sini pada 20 Ogos lalu sebelum mayatnya ditemui 27 hari kemudian di Petaling Jaya. Dia dipercayai mati kerana deraan seksual.

0 comments: