Kes Nurin: Polis tiada bukti dakwa wanita

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Ifwan Tun Tuah dan Nor Azma Laila


MAKLUMAT TERBARU: Jazimin ditemu bual wartawan selepas membuat laporan polis berhubung kes penyebaran gambar bedah siasat Nurin Jazlin, semalam.

Warga Indonesia dibebas, serah kepada Jabatan Imigresen

KUALA LUMPUR: Siapa sebenarnya pembunuh kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8, masih samar berikutan pembebasan wanita Indonesia berusia 23 tahun yang ditahan berhubung kes itu, semalam, selepas tiada bukti untuk mendakwanya.

Wanita itu yang sebelum ini turut menelan kad SIM telefon bimbit yang dipercayai ada kaitan dengan kes pembunuhan itu, adalah suspek kelima dibebaskan. Sebelum ini empat lelaki dibebaskan tanpa syarat atas alasan mereka juga tidak terbabit dalam kes itu.


Selepas dibebaskan, polis menyerahkan wanita itu kepada Jabatan Imigresen kerana wanita terbabit didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan ketika tinggal di negara ini.

Berikutan pembebasannya, polis terpaksa bermula dari awal sekali lagi, memburu pembunuh Nurin Jazlin. Harapan mereka kini lakaran wajah suspek lelaki dan wanita yang disiarkan media baru-baru ini, selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditingkatkan di makmal Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, berkata wanita Indonesia yang direman sejak 29 September lalu, dibebaskan kerana tiada bukti kukuh termasuk maklumat dalam kad SIM, untuk mendakwanya di mahkamah.

"Timbalan pendakwa raya mendapati tiada bukti kukuh untuk mendakwanya berhubung kes Nurin Jazlin, jadi wanita itu dibebaskan.


"Kita serahkan wanita itu kepada Jabatan Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan," katanya dihubungi di sini, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Polis Bukit Aman sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti dalang di sebalik penyebaran gambar bedah siasat Nurin Jazlin yang disebar secara meluas melalui internet sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Su Kee, berkata siasatan sudah dimulakan.

"Kita lakukan siasatan di pihak kita (polis) dulu dan sesiapa saja yang terbabit (penyebaran gambar) akan dikenakan tindakan," katanya.

Gambar yang disebarkan pihak tidak bertanggung jawab itu antara lain menunjukkan mayat Nurin Jazlin dalam beg pakaian

Turut dipaparkan gambar mayat kanak-kanak malang itu ketika dibedah siasat dengan perutnya terbelah serta dua objek dipercayai timun dan terung berada di dalamnya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, yang kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu meminta semua pihak berhenti menyebarkan gambar itu.

Beliau mengesahkan laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya oleh Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad.

Sementara itu, bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil mungkin akan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan gambar bedah siasat arwah anaknya.

Beliau berkata, sebarang tindakan yang akan diambil bergantung kepada nasihat peguamnya selepas laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kelmarin.

"Buat masa ini, tiada sebarang keputusan diambil, sama ada ingin menyaman pihak terbabit atau sebaliknya kerana saya perlu berbincang dengan peguam terlebih dulu yang belum pulang daripada mengerjakan umrah," katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menerima sumbangan pakej mengerjakan umrah, di sini, semalam.

Sumbangan Uptrend Network Sdn Bhd (Uptrend) yang bernilai RM7,496 itu adalah hasil pemberian ikhlas syarikat berkenaan serta kutipan daripada ahli dan jutawan Uptrend.

0 comments: