Anggota polis sebar gambar Nurin?

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar tidak menolak kemungkinan pegawai dan anggota polis menjadi dalang dalam penyebaran gambar bedah siasat mayat kanak-kanak malang Nurin Jazlin Jazimin menerusi Internet dan sistem pesanan ringkas (SMS).

Khalid berkata, bagaimanapun polis sedang melakukan siasatan daripada pelbagai sudut dan aspek bagi mengenal pasti penyebar gambar-gambar itu.

“Buat masa ini saya tidak dapat dedahkan siapa yang telah dipanggil untuk memberi keterangan, tunggu nanti saya beritahu keputusannya.

“Tindakan tegas akan diambil kepada penyebar gambar berkenaan dan saya tidak akan berkompromi kepada sesiapa sahaja yang didapati terlibat mengedarkan gambar itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ekoran itu beliau meminta orang ramai yang menyimpan gambar tersebut supaya membuangnya dan tidak menyebarkan kepada orang lain.

Beliau berkata, tindakan akan diambil ke atas sesiapa sahaja yang didapati menyimpan dan mengedarkan gambar tersebut.

Semalam, Khalid berjanji akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan gambar proses bedah siasat Nurin itu setelah gambar tersebut tersebar di Internet dan SMS.

Khalid yang marah dan kesal dengan perbuatan tersebut menjelaskan, mereka yang didapati menyebarkan gambar itu boleh didakwa mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) atau Seksyen 292 dan Seksyen 293 Kanun Keseksaan.

0 comments: