Bapa buat laporan polis

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Jazimin Abdul Jalil menunggu siasatan polis selesai berhubung penyebaran gambar bedah siasat mayat anaknya, Nurin Jazlin yang disiarkan secara meluas di Internet sebelum mengambil tindakan undang-undang.

Jazimin telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini malam tadi mengenai penyebaran gambar itu dan berharap polis mengenal pasti mereka yang terbabit dengan perbuatan tersebut secepat mungkin.

Katanya, tindakan undang-undang yang bakal diambil hanya akan diputuskan sejurus keluarganya menerima laporan siasatan polis selain berbincang dengan peguam yang dilantik.

‘‘Saya juga menunggu peguam kami pulang daripada menunaikan umrah bagi mendapatkan nasihat undang-undang daripada beliau sama ada untuk mengambil tindakan saman,’’ katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sumbangan pakej umrah oleh Uptrend Network Sdn. Bhd. kepada beliau dan isterinya, Norazian Bistaman di rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan gambar bedah siasat mayat kanak-kanak malang, Nurin Jazlin menerusi Internet dan sistem pesanan ringkas (SMS).

Khalid yang marah dan kesal dengan perbuatan tersebut menjelaskan, mereka yang didapati menyebarkan gambar itu boleh didakwa mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) atau Seksyen 292 dan Seksyen 293 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Uptrend, Mohd. Khairul Anis Mohd. Hussien berkata, syarikat itu berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM7,496 untuk diberikan kepada keluarga Nurin Jazlin.

Namun, jelasnya, wang RM3,000 yang disumbangkan oleh syarikat itu akan digunakan untuk membeli pakej umrah buat Jazimin dan Norazian.

0 comments: