Program angkasawan negara akan diterus

Oleh Azman Zakaria dan Mohd Azis Ngah


DETIK BERSEJARAH: Abdullah bersama Najib menyaksikan pelancaran Soyuz TMA-11 dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan di KLCC, malam tadi.

Kapten Dr Faiz jadi calon pertama jika ada tawaran: PM



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, program angkasawan Malaysia akan diteruskan pada masa akan datang dan Kapten Dr Faiz Khaleed akan menjadi calon pertama menyertai misi itu jika ada tawaran untuk Malaysia.

Perdana Menteri berkata, beliau cenderung untuk menerima tawaran bagi pihak Dr Faiz jika ada tawaran mengenainya.


"Kalau ada tawaran nanti kita boleh terima. Jika ada lagi Soyuz ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan kalau dia (Dr Faiz) dianggap cukup layak menjadi angkasawan, saya cenderung untuk menerima tawaran itu bagi pihaknya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis siaran langsung pelancaran angkasawan negara pertama ke ISS di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini malam tadi.

Doktor pakar ortopedik Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 35 menjadi angkasawan pertama negara menyertai misi ke angkasa lepas apabila beliau bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan, Yuri Malenchenko berlepas dengan roket Soyuz ke ISS, dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan malam tadi. Dr Faiz adalah calon kedua.

Abdullah berkata, kerajaan sudah menyediakan peruntukan penyelidikan dan teknologi angkasa lepas.




Beliau berkata, kejayaan menghantar angkasawan ke ISS adalah permulaan Malaysia meneroka angkasa lepas dan menjadi sebahagian daripada pasukan antarabangsa menyertai penyelidikan mengenainya.

"Ini pengalaman baru untuk kita tetapi jelas ia mencetus semangat generasi muda dengan apa yang dilihat (pada siaran langsung pelancaran roket) malam ini (malam tadi). Ia membawa harapan terhadap minat kepada teknologi angkasa lepas dan penyelidikan angkasa lepas untuk masa depan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyifatkan ia pencapaian hebat kerana Malaysia mempunyai warga negara yang layak untuk menjadi angkasawan.

Katanya, bukan mudah menjadi angkasawan kerana perlu mempunyai kemampuan dari segi fizikal, mental, psikologi, semangat yang tinggi serta berkebolehan mengendalikan eksperimen saintifik di angkasa lepas.

"Kejayaan ini bererti kita mula meneroka satu dimensi baru yang selama ini diterokai orang lain. Dalam kita menuju status negara maju, kita sudah menunjukkan kebolehan setanding dengan negara maju.

"Saya anggap ini pencetus semangat untuk generasi muda melakukan sesuatu. Jika mereka berani impikan sesuatu dan ada semangat, cekal dan berusaha, impian itu boleh menjadi kenyataan," katanya.

Ditanya sama ada Malaysia akan menghantar angkasawan ke bulan, Timbalan Perdana Menteri berkata:

"Kita negara kecil dan kena buat setapak demi setapak, maknanya kita tak boleh buat sesuatu di luar kemampuan kita," katanya.

0 comments: