PBB tidak hukum Myanmar

Majlis Keselamatan ubah kenyataan hanya tersinggung kekerasan junta tentera

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Majlis Keselamatan PBB dijangka melembutkan kenyataannya berhubung tindakan keras junta Myanmar terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi dengan menukar perkataan kecam kepada amat tersinggung selepas China dan beberapa negara lain membantah penggunaan bahasa keras terhadap rejim kuku besi itu.

Amerika Syarikat, Britain dan Perancis lewat kelmarin mengedarkan draf kenyataan yang lebih lembut itu yang mengandungi perubahan perkataan berkenaan.


Tiga kuasa Barat menghantar draf pertama Jumaat lalu, selepas majlis mendengar laporan daripada wakil PBB, Ibrahim Gambari yang dihantar ke Myanmar untuk menangani krisis.

Teks baru 'tidak berikat' itu dibuat pakar 15 ahli majlis pada sesi Isnin dan Selasa lalu.

Pakar akan mengadakan mesyuarat semula awal semalam menjelang rundingan dengan wakil majlis selepas itu.

Draf berkenaan mengutuk keganasan yang dilakukan tentera Myanmar terhadap demonstrasi secara aman termasuk menggunakan paksaan terhadap tokoh dan institusi agama.

Sementara itu, bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew dalam kenyataan yang disiarkan semalam menyifatkan jeneral pemerintah Myanmar sebagai bodoh dalam menguruskan ekonomi, walaupun sudah lama memerintah negara itu.

"Perkahwinan mewah luar biasa anak perempuan Jeneral Kanan Myanmar, Than Shwe baru-baru ini boleh mencetuskan pemberontakan oleh penduduk miskin," katanya yang dipetik akhbar The Straits Times.

"Mereka lebih bodoh apabila ia membabitkan ekonomi. Bagaimana mereka boleh salah urus terhadap ekonomi dan mencapai peringkat itu apabila negara mempunyai terlalu banyak sumber semula jadi?

"Tetapi anda tahu, anda mempunyai orang paling bodoh untuk menguruskan ekonomi," kata Lee yang menyaksikan perubahan terhadap negara pulaunya itu daripada pelabuhan dunia ketiga kepada sebuah negara yang kaya di Asia.

Myanmar adalah salah sebuah negara paling miskin di dunia walaupun mempunyai sumber asli seperti gas, galian dan sumber lain. � AFP

0 comments: