'Rekod CCTV, Touch n' Go bercanggah jika rosak'

SHAH ALAM: Seorang juruteknik berkata masa yang direkod pada kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem perakam masa kad Touch n' Go di plaza tol boleh berbeza jika berlaku kerosakan walaupun selepas diselaraskan.

Juruteknik Propel Bhd yang ditugaskan menyelenggara sistem CCTV untuk Plus Expressway Bhd, Rasidi Abdul Razak, 36, berkata berdasarkan pengalamannya, kerap terjadi masa pada CCTV dan Touch n' Go tidak sama.

"Ini boleh berlaku walaupun selepas dibuat pelarasan, terutama apabila berlaku kerosakan sistem contohnya disebabkan oleh kilat, kerosakan pada kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kesilapan manusia.

"Kerosakan itu boleh menyebabkan perbezaan masa di antara lima hingga 10 minit antara kedua-dua sistem walaupun masa pergerakan kenderaan di sesuatu plaza tol adalah sama," katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-37 pendakwa.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah dalam sesi pemeriksaan utama, adakah beliau tahu sama ada perakam masa pada CCTV dan Touch n' Go mempunyai waktu yang tepat dan selaras, saksi itu menjawab: "Sepatutnya selaras tetapi jika ada kerosakan, waktunya akan lari".

"Ini kerana sistem CCTV dan Touch n' Go dikawal server (pelayar) yang berbeza, sehubungan itu jika jam masa pada CCTV dipercepatkan, perakam waktu pada Touch n' Go tidak akan mengikut masa CCTV," katanya.

Menjawab soalan peguam bela Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar, sama ada beliau ditugaskan membaik pulih sistem CCTV di Plaza Tol Kota Damansara pada 19 Oktober tahun lalu, Rasidi menjawab, "Tidak".

Pada tarikh itu, kad Touch n' Go milik Sirul Azhar direkodkan melakukan lima transaksi di antara Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Kota Damansara, iaitu pada malam sama wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dilaporkan hilang dan mati dibunuh.

Rasidi juga memberitahu mahkamah, sistem CCTV di Plaza Tol Kota Damansara mengalami kerosakan 14 Oktober tahun lalu, menyebabkan gambar tidak boleh dirakamkan dan imej pada paparan terhenti.

Berikutan itu, beliau membuat pembaikan terhadap sistem multiscope CCTV Plaza Tol Kota Damansara selepas dimaklumkan penyelianya.

Beliau berkata, selepas menutup sistem CCTV itu dan membuat pemantauan, barulah ia kembali berfungsi dengan normal.

Katanya, beliau kemudian membuat pembetulan kepada perakam masa CCTV itu supaya ia selaras dengan masa pada lorong Touch n' Go dan Smart Tag.

Sementara itu, rakannya yang juga juruteknik Propel, Mohd Rasidi Ariffin, 34, berkata beliau dan Rasidi turut membuat pembaikan pada sistem multiscope CCTV Plaza Tol Plus Kota Damansara pada 25 Oktober tahun lalu berikutan kerosakan sistem.

Tun Abdul Majid kemudian memaklumkan kepada mahkamah pihak pendakwaan akan memanggil 15 lagi saksi untuk memberikan keterangan sebelum menutup kes.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin menangguhkan perbicaraan kepada Rabu ini.

0 comments: