4 lelaki dibebas -- Setelah tidak punya bukti kukuh kes bunuh Nurin

Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

PETALING JAYA 1 Okt. – Empat lelaki berusia 27 hingga 33 tahun yang ditahan Khamis lalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Keempat-empat lelaki itu dibebaskan pada pukul 4.56 petang di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya di sini selepas pihak polis gagal mendapat sebarang bukti yang boleh mengaitkan mereka dengan kes kehilangan dan pembunuhan kanak-kanak malang itu.

Kesemua mereka yang sepatutnya direman sehingga 3 Oktober ini dibebaskan tiga hari lebih awal.

Keluarga lelaki-lelaki itu hadir di IPD Petaling Jaya untuk menjemput mereka selepas dimaklumkan tentang pembebasan tersebut.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan ke atas mereka berempat juga disahkan tidak sepadan dengan kesan DNA pada mayat Nurin Jazlin.

Ketika ditanya sama ada pembebasan keempat-empat lelaki itu akan membuatkan siasatan menjurus kepada wanita warga Indonesia berusia 23 tahun yang masih ditahan reman, sumber itu enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika ditemui berkata:

‘‘Siasatan masih diteruskan. Jangan buat spekulasi tanpa sebarang kenyataan polis.”

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee ketika dihubungi juga enggan mengulas panjang berhubung pembebasan keempat-empat lelaki itu.

‘‘Kita akan adakan satu sidang media esok, saya harap semua pihak bersabar dan biarlah pegawai serta anggota saya yang buat kerja,” ujarnya.

Pada 28 September lalu, lima orang termasuk sepasang suami isteri ditahan di Shah Alam bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin.

Bagaimanapun, wanita berkenaan yang mengandung empat bulan dibebaskan selepas polis merekodkan kenyataannya manakala suaminya bersama tiga lelaki lain ditahan reman.

Susulan daripada penahanan mereka, polis kemudian menyerbu sebuah rumah kedai di Jalan Kristal, Seksyen 7, Shah Alam.

Keesokan harinya, polis menahan seorang wanita warga Indonesia di Bazar Ramadan Nilai, Negeri Sembilan, berhampiran pasar raya Giant bagi membantu siasatan kes Nurin Jazlin.

Nurin Jazlin, 8, hilang pada 20 Ogos selepas keluar seorang diri untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Walaupun mendapat liputan meluas media dan usaha besar-besaran digerakkan untuk mencarinya, Nurin Jazlin tidak dapat dikesan.

Selepas 27 hari kehilangan Nurin Jazlin, pada 17 September lalu polis menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg sukan yang diletakkan di hadapan tangga sebuah rumah kedai di Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya.

Hasil ujian DNA mendapati mayat itu adalah Nurin Jazlin dan bedah siasat mendapati mangsa didera secara seksual.

0 comments: