'Motosikal diharam di lebuh raya'

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

Samy Vellu beri amaran bertindak selepas lihat sendiri gelagat penunggang berlumba

PARIT: Selepas melihat sendiri empat penunggang motosikal berkuasa besar berlumba di Lebuhraya Utara-Selatan, Menteri Kerjaraya Datuk Seri Samy Vellu berkata kerajaan mungkin mengharamkan motosikal di lebuh raya itu jika mereka didapati mengancam nyawa pengguna lain.

Beliau berkata, tindakan tegas mesti diambil kerana penunggang motosikal didapati tidak mengendahkan undang-undang jalan raya termasuk menggunakannya untuk berlumba.

"Penunggang motosikal perlu menghormati pengguna lain di lebuh raya yang membayar tol sedangkan mereka menggunakannya secara percuma.

"Orang lain bayar. Dia (penunggang motosikal) tak bayar. Guna percuma.... kena jaga sikit.

"Sekarang kita tidak menghalang motosikal guna lebuh raya, tetapi kalau mereka tidak ikut peraturan, kita akan 'ban' motosikal daripada lebuh raya," katanya kepada pemberita selepas melawat projek naik-taraf Jalan Ipoh-Lumut di Bota dekat sini, semalam.

Samy Vellu berkata, beliau pernah melihat penunggang motosikal kuasa besar di Lebuhraya Utara-Selatan menunggang laju hingga 170 kilometer sejam dan tidak mematuhi peraturan hingga empat motosikal bersaing dalam dua lorong.

"Saya ingin memberi amaran (lebuh raya) bukan tempat perlumbaan motosikal.

"Saya akan berjumpa persatuan (pemilik) motosikal dan memberi nasihat kerana kalau mereka tidak mahu ikut, kita akan haramkan motosikal daripada Lebuhraya Utara-Selatan," katanya.

Samy Vellu berkata, kerajaan berusaha untuk meningkatkan keselamatan di jalan raya dengan menguatkuasakan peraturan dan pelbagai pendekatan untuk mengurangkan kadar kemalangan.

Katanya, penunggang motosikal perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan kerana undang-undang itu bertujuan menjaga keselamatan mereka dan pengguna jalan raya yang lain.

Sementara itu, Samy Vellu berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menyiapkan pembinaan 16 menara pemerhatian polis di seluruh negara dengan kos RM1.5 juta.

Katanya, semua menara itu siap Jun lalu dan sudah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan JKR bertanggungjawab menyelenggaranya.

Kabinet mengarahkan pembinaan itu Februari lalu sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan jalan raya terutama pada musim perayaan.

0 comments: