Motosikal berkuasa tinggi dilarang guna Plus

PARIT 1 Okt. – Kementerian Kerja Raya mungkin mengharamkan motosikal berkuasa tinggi daripada menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan jika pemiliknya terus mengabaikan aspek keselamatan dan undang-undang jalan raya.

Menterinya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, penunggang motosikal berkuasa tinggi sering menjadikan lebuh raya itu sebagai medan berlumba sehingga membahayakan orang lain.

Malah, beliau sendiri pernah mengalami saat-saat yang menakutkan apabila terserempak dengan golongan itu yang menunggang dengan terlalu laju.

“Semalam, apabila saya berada di Lebuh raya Utara Selatan, saya lihat motosikal besar dipandu dengan laju sehingga 170 kilometer sejam, empat buah motosikal besar ditunggang sangat laju di lorong kanan.

“Jadi, saya suka memberi amaran kepada mereka bahawa ini (lebuh raya PLUS) bukan tempat untuk mereka mengadakan perlumbaan motosikal, saya mahu jumpa persatuan mereka dan beri nasihat.

“Kalau selepas itu mereka tidak mahu ikut nasihat, saya akan larang motosikal besar daripada menggunakan lebuh raya,” ujar beliau kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan jambatan Sungai Perak di Bota dekat sini hari ini.

Menurut Samy lagi, semua kenderaan yang menggunakan lebuh raya mesti mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan terutama sekali berkaitan had laju bagi mengurangkan kemalangan maut di lebuh raya.

Jelas beliau, walaupun masih tidak ada undang-undang yang mengehadkan jumlah motosikal besar menggunakan lorong laju, namun tindakan mereka memandu terlalu laju amat membahayakan pengguna lain.

Katanya, keadaan itu juga tidak sepatutnya berlaku kerana pengguna atau kenderaan lain selain motosikal adalah pengguna yang membayar tol sedangkan penunggang motosikal tidak dikenakan sebarang bayaran.

“Pengguna lebuh raya yang membayar tol mesti berasa selesa dan orang yang guna lebuh raya secara percuma (penunggang motosikal) mesti jaga sikit,” ujarnya.

Sementara itu, Samy Vellu berkata, kementeriannya telah membina sebanyak 16 menara pemerhatian polis di sepanjang Lebuh raya Utara Selatan bernilai RM1 juta.

Katanya, menara berkenaan akan digunakan oleh polis untuk mengesan pemandu yang melanggar pelbagai kesalahan selain memantau kelancaran trafik terutama sekali menjelang musim perayaan.

0 comments: