Angkasawan Malaysia jadi kebanggaan dunia Islam

RIYADH 1 Okt. – Kerabat diraja Arab Saudi, Putera Sultan bin Salman yang menjadi orang Islam pertama ke angkasa lepas berkata, dunia Islam berbangga dengan angkasawan Malaysia yang dijadual berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober ini.

Sultan terbang ke angkasa lepas pada 1985 selaku seorang pakar peralatan di dalam kapal angkasa Amerika Syarikat (AS), Discovery.

“Pengalaman Malaysia meneroka angkasa lepas membanggakan kami semua sebagai umat Islam.

“Malaysia mempunyai wawasan dan pucuk pimpinan yang yakin dengan wawasan itu dan menggerakkan rakyat untuk menyokongnya,” kata Sultan yang merupakan anak saudara kepada Raja Abdullah, dalam wawancara dengan Reuters semalam.

Semasa Sultan menyertai misi Discovery dahulu, hari pertama beliau berada dalam orbit ialah hari terakhir Ramadan.

Menurut putera itu, meskipun beliau dapat bersolat dan berpuasa, beliau tidak dapat menghadap Mekah dan tidak dapat sujud sepenuhnya.

“Solat bukanlah sukar sangat tetapi saya tidak dapat menghadap kiblat atau bersujud di lantai,” katanya.

Beliau turut menceritakan pengalamannya setelah kembali ke Bumi.

“Apabila saya pulang keadaan seolah-olah seperti satu kejutan.

“Saya perlu menjawab banyak soalan dan angkasawan Malaysia juga akan perlu menjawab soalan termasuk mengenai solat dan puasa (di angkasa lepas),” katanya.

Penerbangan Sultan pada 1985 mencipta sejarah bagi umat Islam tetapi sejak itu tidak banyak kemajuan dicapai oleh Arab Saudi dalam membina sektor penyelidikan dan pembangunan di luar industri minyak dan petrokimia

Angkasawan Malaysia, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dijadual berlepas ke ISS pada 10 Oktober ini dalam misi yang diharap dapat membangkitkan minat rakyat Malaysia untuk membina kerjaya dalam bidang sains dan teknologi.

Langkah Malaysia meneroka angkasa lepas telah menaikkan imejnya di dunia Islam terutamanya di negara ini.

Pengulas Saudi sering menyebut Malaysia sebagai contoh unggul sebuah negara Islam moden yang berjaya, menjalin hubungan baik dengan Barat di samping mampu bersaing dalam bidang sains dan teknologi. – Reuters

0 comments: