Kes bunuh jururawat dibuka semula

KUALA TERENGGANU 1 Okt. – Polis menubuhkan satu pasukan khas bagi mengkaji semula siasatan kes bunuh seorang jururawat yang ditemui mati selepas lehernya dikelar dan ditikam lebih 10 kali di perkarangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 13 Ogos 2005 lalu.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pasukan itu ditubuhkan susulan siaran sebuah stesen televisyen berbayar baru-baru ini yang mendakwa polis telah menutup siasatan kes tersebut.

Menurutnya, beliau sendiri akan mengetuai pasukan itu bersama enam pegawai lain termasuk Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah I negeri, Supritendan Khairi Ahrasa dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah II negeri, Supritendan K. Manoharan.

Katanya, ia turut dianggotai Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Manan Alwi serta timbalannya, Supritendan Abdul Halim Mohd. Ishak; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD), Deputi Supritendan Noor Mushar Mohamad dan pegawai penyiasat kes itu, Asisten Supritendan Samsudin Yaakob yang kini menjawat jawatan sebagai KBSJD Hulu Terengganu.

‘‘Kita masih menjalankan siasatan. Cuma setakat ini, tiada perkembangan terbaru dan polis menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi saya sendiri atau Samsudin di talian 012-9858300 atau Rakan Cop,’’ katanya kepada sidang akhbar di sini hari ini.

Dikejutkan

Dua tahun lepas, negara dikejutkan dengan kematian seorang jururawat, Norhayati Awang, 29, dalam keadaan ngeri dengan lehernya dikelar dan ditikam berkali-kali selepas dipercayai bergaduh dengan kenalan lelakinya di perkarangan HSNZ.

Mayatnya yang berlumuran darah ditemui dalam keadaan terduduk di lantai tempat duduk sebelah pemandu kereta Perodua Kancil pada pukul 9 malam.

Polis juga mendapati terdapat kesan kelaran sedalam 3.75 sentimeter pada tengkuk mangsa dari telinga kiri hingga kanan serta kesan lebih 10 tikaman termasuk di leher, dahi dan kedua-dua belah tangan.

Jalaluddin berkata, polis telah menjalankan siasatan terperinci dan enam lelaki telah ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan itu.

Bagaimanapun, katanya, kesemua mereka dibebaskan kerana tidak ada bukti kukuh yang boleh mengaitkan mereka dengan kes tersebut.

Selain itu, katanya, beliau juga akan mengarahkan pegawainya untuk berjumpa dengan keluarga mangsa di Kampung Limbong Kubur, Paka, Dungun selewat-lewatnya esok untuk menjelaskan perkembangan siasatan kes pembunuhan anak mereka.

0 comments: