4 ditahan kes Nurin bebas

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Hardi Effendi Yaacob dan Nurhayati Abllah


TIADA BUKTI: Empat lelaki yang ditahan berhubung kes kematian Nurin Jazlin dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

Suspek dilihat meninggalkan IPD Petaling Jaya bersama keluarga petang semalam

PETALING JAYA: Empat lelaki yang ditahan Khamis lalu bagi membantu siasatan kes penderaan seksual dan pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8, semalam dibebaskan dengan jaminan polis.

Keempat-empat lelaki itu dibebaskan tiga hari lebih awal berbanding tempoh tahanan reman tujuh hari yang diperoleh polis daripada Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Jumaat lalu.

Menurut sumber, empat lelaki itu yang ditahan dalam tiga operasi ber asingan di Shah Alam, Khamis lalu, dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan soal siasat terhadap mereka.

Mereka dilihat meninggalkan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, kira-kira jam 4.56 petang dan menaiki tiga kenderaan berasingan bersama keluarga masing-masing.

Empat lelaki berusia 27 hingga 33 tahun itu ditahan dalam Ops Sunti, dipercayai hasil pemantauan rapi polis terhadap beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada bapa mangsa, Jazimin Abd Jalil, 33, sejak kehilangan kanak-kanak itu 20 Ogos lalu.

Seorang wanita hamil, dipercayai isteri salah seorang lelaki itu, turut ditahan bersama mereka tetapi dibebaskan pada hari yang sama selepas keterangannya diambil.

Keempat-empat lelaki itu sebelum ini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dua hari selepas itu, polis menahan seorang wanita warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah pasar raya di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan kerana dipercayai mengurung Nurin sepanjang 27 hari kehilangannya sebelum ditemui mati.

Dengan pembebasan empat lelaki itu, hanya tinggal seorang suspek iaitu wanita Indonesia terbabit, yang kini ditahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Media Prima Berhad di Sri Pentas, Bandar Utama, petang semalam, berkata beliau belum dimaklumkan mengenai pembebasan terbabit.

"Dari mana anda (media) dapat sumber berita itu pun saya tidak tahu. Setakat ini, saya belum dimaklumkan mengenai pembebasan itu. Cuma, saya mintalah media tidak membuat sebarang spekulasi hingga mengganggu siasatan," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan polis terpaksa membebaskan empat lelaki terbabit kerana tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa mereka.

0 comments: