Melakar satu lagi sejarah -- Sheikh Muszaphar berlepas dengan roket Soyuz pukul 9.21 malam ini

Daripada METRA SYAHRIL MOHAMED


Dr. Sheikh Muszaphar Shukor melambai pada sidang akhbar bagi mengumumkan namanya sebagai angkasawan pertama negara di Baikonur, Kazakhstan, semalam. – AP.

BAIKONUR, Kazakhstan 9 Okt. – Satu sejarah penerokaan angkasa tercipta apabila angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, 35, berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang terletak kira-kira 333 kilometer dari muka bumi, malam esok.

Beliau dijadual berlepas bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan Yuri Malenchenko dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, dekat sini pada pukul 7.21 malam waktu tempatan (9.21 malam waktu Malaysia).

Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, beberapa jam sebelum pelancaran, beberapa perkara akan dilalui oleh angkasawan negara yang kebanyakannya merupakan ‘acara tradisi’ setiap angkasawan yang bakal berlepas ke angkasa.

Perkara tersebut, menurutnya, telah diamalkan sejak manusia pertama iaitu Yuri Gagarin berlepas ke angkasa pada tahun 1961.

“Mereka juga akan bertemu dengan ahli keluarga masing-masing.

“Dua bas akan membawa angkasawan ke tapak pelancaran. Secara tradisi, bas kedua akan dinaiki angkasawan sokongan iaitu Kapten Dr. Faiz Khaleed. Namun, Faiz tidak akan ke tapak pelancaran dan basnya berhenti di pertengahan jalan.

‘‘Setiba di tapak pelancaran, salah satu tradisi pelik adalah setiap angkasawan akan membuang air kecil di tepi bas yang membawa mereka ke tapak pelancaran kecuali Peggy Whitson,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Aerofisiologi, Institut Perubatan Penerbangan (IPP) di TUDM Sungai Besi, berkata, ketika ini, semua krew telah bersedia untuk pelancaran angkasawan ke ISS.

“Kita berharap misi ini akan berjaya sepenuhnya dan rakyat perlu berdoa untuk kejayaan ini,” ujarnya.

Pemilihan angkasawan pertama Malaysia oleh Jawatankuasa Pemilihan Angkasawan Agensi Angkasa Rusia (Roskosmos) hari ini berdasarkan pencalonan asal Malaysia kepada agensi itu iaitu Sheikh Muszaphar sebagai calon pertama dan Faiz, 27, sebagai calon kedua.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan mengambil kira laporan semua komponen dan pihak yang terlibat dalam melatih kedua-dua angkasawan tersebut.

Doktor bedah ortopedik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang berasal dari Seremban itu akan berada di ISS selama 10 hari.

Jutaan rakyat Malaysia juga akan menyaksikan detik bersejarah itu apabila pelancaran misi Soyuz TMA-11 yang membawa tiga angkasawan tersebut ditayangkan secara langsung melalui saluran Astro (588), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV3.

Pencapaian yang bakal dilakukan oleh Sheikh Muszaphar ini juga menjadi kebanggaan kepada seluruh rakyat Malaysia terutama ketika negara meraikan 50 tahun merdeka.

Program Angkasawan Negara merupakan misi negara untuk menghantar seorang rakyat Malaysia ke angkasa yang sebelum ini didominasi oleh rakyat Rusia dan Amerika Syarikat.

Ia juga merupakan persetujuan timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Sheikh Muszaphar dan Faiz, pegawai pergigian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan dua calon terakhir daripada 11,275 rakyat Malaysia yang memohon menjadi angkasawan pertama negara ketika tawaran dibuka pada 2003.

Setelah berjaya dipilih menjadi calon angkasawan, kedua-dua mereka kemudian telah menjalani latihan di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin, Star City, Rusia mulai akhir September tahun lalu.

Mereka kemudian terpaksa menghadapi pelbagai ujian dan latihan termasuk menjalani latihan ikhtiar hidup di kawasan salji sebagai persiapan menjayakan misi tersebut.

Setelah lebih setahun menjalani latihan, akhirnya Roskosmos dalam mesyuaratnya hari ini mengumumkan pemilihan Sheikh Muszaphar sebagai angkasawan negara.

Bagaimanapun mesyuarat setengah jam itu juga bersetuju supaya Faiz dihantar menyertai misi angkasa bagi sesi 2008/09 dan dibenarkan meneruskan latihan di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin.

Di ISS, Sheikh Muszaphar akan menjalankan tiga eksperimen iaitu berkaitan dengan sel barah, bakteria dan pengkristalan protein.

Beliau akan melawat ISS selama sembilan hari sebelum pulang ke bumi bersama angkasawan-angkasawan lain yang kini telah pun berada di stesen berkenaan.

Sementara itu, roket pelancar Soyuz yang bakal membawa angkasawan pertama Malaysia ke ISS kini telah ditempatkan di tempat pelancarannya di Baikonur Cosmodrome.

Sejarah penerokaan angkasa lepas bermula apabila angkasawan pertama, Yuri Gagarin berjaya membuat pusingan bersejarah mengelilingi bumi dengan masa 108 minit pada 12 April 1961.

Angkasawan kebanggaan Rusia itu berjaya melakukannya dengan menggunakan kapal angkasa Vostok 1 seberat hampir lima tan dan boleh mencapai kelajuan altitud maksimum sehingga 303 kilometer.

0 comments: