40 kapal layar dunia singgah tiga hari

GEORGETOWN: Lebih 40 kapal layar dari seluruh dunia yang menyertai Rali Kapal Layar Darwin-Bali 2007 'berkampung' di sini, tiga hari mulai kelmarin sebelum menamatkan pelayaran di Langkawi pada 1 Disember ini.

Ia sebahagian daripada 100 peserta rali yang bermula di Darwin, Australia pada 21 Julai lalu, selepas singgah di 14 lokasi di Indonesia, Singapura (empat), Port Dickson dan Lumut sebelum berakhir di Langkawi.

Antara lain, rali bertujuan mempromosi industri marin di Malaysia, khususnya di Pulau Pinang bagi menarik lebih ramai pemilik kapal layar singgah di Tanjung City Marina yang bernilai RM44 juta.

Antara negara menyertai rali itu ialah Finland, Turki, Jerman, Poland, Afrika Selatan, Australia, New Zealand, Denmark, Amerika Syarikat, Belanda dan Scotland.

Ketibaan peserta rali anjuran Passion Asia Sdn Bhd, disambut pegawai Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan Pengurus Besar Passion Asia Sdn Bhd, Sazli Kamal Basha.

Sepanjang tiga hari di sini, semua peserta menyertai pelbagai kegiatan termasuk demonstrasi batik, majlis makan malam, bersiar-siar dengan beca, menjejaki bangunan warisan serta tempat menarik di sekitar bandar raya ini.

Sementara itu, Sazli berkata, pihaknya bercadang menganjurkan rali lebih besar dengan penyertaan lebih 200 kapal layar tahun depan termasuk menambah destinasi perhentian.

"Cara ini dapat menarik pemilik kapal layar mewah ke negara ini, sekali gus menjana industri pelancongan negara," katanya.

Tanjung City Marina mempunyai pelbagai kemudahan termasuk 120 ruang kapal layar berlabuh, selain pusat maklumat maritim dan restoran.

0 comments: