Cuaca punca penyakit baru

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

KOTA KINABALU: Pelbagai penyakit baru termasuk yang memerlukan rawatan rapi diramal wujud di negara ini kesan pemanasan global dalam tempoh 50 tahun akan datang.

Pakar Klimatologi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Ramzah Dambul, berkata kewujudan penyakit itu kesan perubahan cuaca menyebabkan kemunculan pelbagai serangga baru yang menyebarkan virus kepada manusia.

“Perubahan cuaca dengan sendirinya menyebabkan perubahan dalam genetik serangga yang berkait rapat dengan kewujudan penyakit baru di seluruh dunia dan negara kita tidak terkecuali daripada ancaman berkenaan.

"Jika negara lain bimbang kehilangan bandar raya utama akibat ditenggelami lautan kesan peningkatan paras laut, kita di Malaysia harus bersedia menghadapi ancaman penyakit baru," katanya kepada Berita Minggu di sini, semalam.

Beliau yang juga pensyarah UMS mempunyai kepakaran dalam bidang klimatologi atau kajian iklim sains atmosfera merangkumi peredaran haba, pemindahan haba, perhubungan lautan dan darat serta komposisi kimia dan fizik atmosfera.

Sebelum ini, pakar klimatologi dunia meramalkan pemanasan global menyebabkan peningkatan paras air laut dan kekerapan banjir yang dijangka menyebabkan 20 bandar raya utama dunia akan tenggelam.

Dianggarkan 57 peratus peningkatan paras laut berpunca daripada kesan pengembangan haba di lautan manakala 28 peratus lagi disumbangkan pencairan glasier dan litupan ais.

Ramzah berkata, kawasan diramal dilanda pemanasan global adalah tanah tinggi Kundasang, Ranau dan Genting Highlands, Pahang.

“Kawasan beriklim sejuk terdedah kepada fenomena berkenaan. Sebagai contoh, Kundasang ketika ini mempunyai suhu di antara 16 hingga 23 darjah Celsius dan dijangka meningkat lebih 0.5 darjah Celsius dalam tempoh 50 tahun akan datang.

“Perubahan mendadak cuaca berkenaan bertentangan dengan perubahan cuaca sekitar 0.5 darjah Celsius dalam tempoh 20 tahun, seperti berlaku sebelum ini.

“Secara keseluruhannya, suhu di negara kita adalah di antara 23 darjah Celsius hingga 38 darjah Celsius dan ia diramal meningkat kesan pemanasan global,” katanya.

Mengenai kawasan yang diramal tenggelam di negara ini, Ramzah berkata, tiada bandar di pesisir pantai terdedah dengan ancaman berkenaan.

Katanya, kebimbangan beberapa bandar raya utama dunia akan tenggelam akibat pemanasan global hanya ramalan dan memerlukan penyelidikan lanjut.

0 comments: