Kontraktor projek PTNP disenarai hitam jika bersalah

SUNGAI SIPUT 17 Nov. – Kontraktor dan konsultan serta jurutera dan arkitek yang terlibat dengan projek kompleks Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) di Pulau Banding dekat sini yang runtuh Selasa lepas akan disenarai hitam jika siasatan mendapati kejadian itu berpunca daripada kecuaian mereka.

“Kita akan meminta PKK (Pusat Khidmat Kontraktor) membatalkan pendaftaran lesen kontraktor yang terlibat jika didapati ada salah laku,” kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu kepada pemberita selepas merasmikan Konvokesyen Tabika Kemas Parlimen Sungai Siput di sini hari ini.

Beliau adalah Anggota Parlimen Sungai Siput.

Katanya siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca bangunan bernilai RM4.5 juta itu runtuh akan dijalankan oleh pasukan pakar daripada JKR Perak dan juga kementerian.

Samy Vellu berkata, banyak faktor perlu dikaji termasuk struktur bangunan, bahan binaan, keadaan tanah, cerun dan bukit di tapak berkenaan.

“Banyak ujian perlu dilakukan sebelum kita tahu sama ada kejadian berpunca daripada kesilapan struktur, binaan tidak betul ataupun berlaku perkara yang tidak mengikut undang-undang,” katanya.

Beliau berkata kajian juga akan melibatkan keadaan tebing Tasik Temenggor kerana terdapat beberapa kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali semalam berkata, projek PTNP tidak dirancang dengan baik dan menghadapi masalah reka bentuk.

0 comments: