Di sebalik nama Tasik Banding

GERIK 17 Nov. – Tasik Banding atau Tasik Temenggor? Dua nama ini mendapat tempat setiap hari di dada akhbar sejak kejadian kompleks Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) yang runtuh di Pulau Banding, dekat sini Selasa lepas.

“Sebenarnya tidak ada Tasik Banding kerana yang terdapat di situ ialah Tasik Temenggor tetapi ramai masih terkeliru... mungkin kerana Pulau Banding lebih terkenal,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Temenggor Datuk Hasbullah Othman.

Beliau berkata kekeliruan itu telah lama berlaku sejak Pulau Banding dan beberapa buah lagi pulau di tasik berkenaan dibangunkan sebagai kawasan pelancongan dan nama pulau terbesar itu pula lebih terserlah.

Pulau Banding dengan keluasan 217 hektar wujud selepas kawasan berkenaan ditenggelami air projek Empangan Temenggor pada tahun 70-an yang mewujudkan Tasik Temenggor, tasik buatan terbesar di Perak dengan keluasan permukaan meliputi 15,200 hektar.

Hasbullah berkata, kawasan berkenaan bakal menjadi destinasi eko-pelancongan yang lebih rancak apabila kawasan hutan seluas 117,500 hektar di Hulu Perak yang diwartakan sebagai Taman Negeri Royal Belum pada 3 Mei lepas.

Kawasan itu pula bakal menerima manfaat menerusi pelaksanaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) apabila dipromosikan sebagai warisan dunia, katanya.

Hasbullah berkata, beliau hanya ingin membetulkan fakta kerana kekeliruan itu membabitkan nama rasmi kawasan berkenaan.

Katanya, selain Tasik Temenggor, tasik lain di Daerah Hulu Perak ialah Tasik Bersia, Tasik Kenering dan Tasik Cenderoh.

– Bernama

0 comments: