Ka Ting sokong MB Selangor

SHAH ALAM 17 Nov. – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyokong sebarang tindakan munasabah yang dilakukan kerajaan negeri dalam meningkatkan mutu perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menterinya, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, kerajaan negeri termasuk Selangor lebih mengetahui tindakan dikenakan terhadap PBT yang gagal meningkatkan prestasi kerana ia di bawah bidang kuasa pentadbiran negeri.

‘‘Saya rasa tentu ada sebab tindakan yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo untuk membaiki mutu perkhidmatan PBT di bawah pentadbirannya.

‘‘Cara dan tindakan mungkin berbeza, namun yang penting sistem dan struktur perkhidmatan itu perlu ditambah baik agar seseorang pegawai yang cuai atau mengabaikan tugas mudah dikesan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2007 di Dataran Kemerdekaan di sini, hari ini.

Ka Ting mengulas pengumuman kerajaan negeri Selangor yang akan mengarahkan para pegawai atasan PBT bersara awal atau mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) jika gagal meningkatkan prestasi mereka.

Menurut beliau, kementerianya juga sedang dalam proses mengkaji semula sistem dan struktur PBT untuk ditambah baik daripada perkhidmatan tertutup kepada lebih terbuka.

‘‘Bagaimanapun PBT masih terletak di bawah kuasa kerajaan negeri dalam menentukan hala tuju dan perubahan berdasarkan kawasan pentadbiran masing-masing,” jelasnya.

Tambah Ka Ting, pihaknya hanya bertanggungjawab dalam membuat penyeragaman dasar antara PBT di seluruh negara.

0 comments: