5A bukan jaminan ke asrama penuh

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar


Alimuddin Mohd Dom

6,000 tempat saja ditawar Kementerian Pelajaran

KUALA KANGSAR: Hanya kira-kira 6,000 daripada 48,400 murid yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun ini, berpeluang memasuki sekolah berasrama penuh (SBP) kerana tempatnya terhad.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata persaingan bagi mendapatkan tempat ke SBP kali ini sengit kerana bilangan murid yang mendapat 5A terlalu ramai.


"Tahun ini, lebih 48,000 murid mendapat 5A, sedangkan 54 SBP di seluruh negara cuma mampu menampung kira-kira 6,000 pelajar, tahun depan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan buku rujukan kepada sembilan sekolah rendah luar bandar seluruh Perak di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan CCM Berhad, Datuk Dr Mohd Hashim Tajudin dan Pengarah Pelajaran Perak, Hussain Harun.

SBP meliputi sekolah menengah sains, sekolah berasrama penuh integrasi dan sekolah menengah agama persekutuan. Selain SBP, pelajar juga berpeluang memasuki Tingkatan Satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).


Bagaimanapun, tempatnya juga terhad kerana hanya 18 daripada 41 MRSM menerima kemasukan pelajar baru Tingkatan Satu. Tahun lalu, MRSM menerima kemasukan 3,300 pelajar baru Tingkatan Satu.

Alimuddin berkata, kementerian juga menyediakan kuota khas untuk murid luar bandar melanjutkan pelajaran ke SBP.

"SBP ditubuhkan selepas negara merdeka untuk memberi peluang kepada pelajar luar bandar yang kekurangan kemudahan pendidikan," katanya.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak kecewa apabila anak mereka tidak terpilih memasuki SBP.

"Ibu bapa harus ingat bahawa kecemerlangan akademik saja tidak mencukupi sebagai syarat ke SBP kerana kecemerlangan dalam aktiviti kokurikulum turut menjadi pertimbangan," katanya.

Beliau juga berkata, kegagalan memasuki SBP tidak sepatutnya menjadi isu besar kerana kebanyakan sekolah menengah biasa sama ada di bandar atau luar bandar kini mempunyai kemudahan pendidikan yang terbaik dan mencukupi.

Katanya, pencapaian cemerlang pelajar sebenarnya banyak bergantung kepada usaha mereka sendiri dengan kerjasama ibu bapa kerana sekolah hanya menyediakan laluan untuk murid mendapat pendidikan sempurna.

"Sebagai contoh, Nur Amalina Che Bakri, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Tiram, Johor, iaitu pelajar sekolah luar bandar yang berjaya mencatat 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2004.

"Dalam UPSR tahun ini pun, sebahagian daripada sekolah yang melahirkan murid 5A adalah sekolah luar bandar, termasuk sekolah Orang Asli," katanya.

0 comments: