Feri Langkawi naik tambang

Oleh Rahmat Othman dan Hamzah Osman

ALOR STAR: Semua enam syarikat perkhidmatan feri Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis tetap akan menaikkan tambang dari Langkawi ke Kuala Kedah sebanyak RM5 daripada RM18 kepada RM23 (dewasa) dan RM12 kepada RM17 bagi kanak-kanak-kanak mulai Selasa ini.

Tambang bagi perjalanan Langkawi-Kuala Perlis pula akan dinaikkan RM3 daripada RM15 kepada RM18 (dewasa), manakala kanak-kanak daripada RM10 kepada RM13.

Pengurus Operasi Fery Line Ventures Sdn Bhd, Hussin Hasan, berkata semua syarikat feri sudah sebulat suara mahu menaikkan tambang itu mulai Selasa ini dan tiket harga baru sudah dicetak.

"Kita terpaksa menaikkan tambang feri kerana kos pengendalian, terutama minyak semakin melambung menyebabkan kami tidak lagi mampu menanggung kerugian," katanya ketika ditemui di Jeti Kuala Kedah, di sini, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan kerajaan negeri memberi amaran menarik balik permit pengusaha feri jika mereka menaikkan tambang perkhidmatan berikutan kerajaan menangguhkannya, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pengangkutan negeri, Datuk Chong Itt Chew dilaporkan berkata, pengusaha feri tidak boleh menaikkan tambang tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Chong berkata, rancangan syarikat itu menaikkan tambang feri mulai Selasa ini hanya mengundang masalah ketika ramai pelancong dijangka memasuki Langkawi sempena cuti sekolah dan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2007 (Lima) yang bermula 4 Disember ini.

Hussin berkata, pengusaha feri tidak boleh menunggu terlalu lama untuk menaikkan tambang kerana selain minyak, harga alat ganti juga meningkat.

"Kami terpaksa menaikkan tambang bagi mengelak pemberhentian pekerja kerana kos operasi semakin meningkat," katanya.

Beliau berkata, jika dulu perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi hanya memakan masa 1 jam 15 minit, kini mengambil masa hampir dua jam kerana sekarang feri menggunakan dua enjin saja bagi menjimatkan kos, berbanding tiga enjin sebelum ini.

Sementara itu, tinjauan Berita Minggu di terminal feri Kuala Kedah dan Langkawi semalam mendapati syarikat feri sudah menampal notis kenaikan tambang untuk makluman orang ramai.

Di Langkawi, Ketua Pemuda Umno Kedah membidas tindakan pengusaha feri membelakangkan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat yang menangguhkan kelulusan menaikkan tambang feri itu.

"Pemuda Umno menggesa kerajaan negeri atau Pusat bertindak tegas jika pengusaha degil menaikkan tambang sebagai pengajaran kepada mereka supaya tidak mengulangi perbuatan itu," katanya.

0 comments: